07 Oktober 2021

PAS tubuh jawatankuasa induk PRN Melaka

 

Ahmad Samsuri Mokhtar akan dibantu Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka, menurut Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: PAS sudah menubuhkan sebuah jawatankuasa induk pilihan raya negeri (PRN) Melaka diketuai Naib Presidennya, Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merangka strategi menghadapi keadaan itu, kata Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu berkata, parti itu sedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk menghadapi PRN Melaka sekiranya dilaksanakan dalam masa terdekat.

Katanya, Samsuri akan dibantu Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

“PAS mengikuti perkembangan politik di Melaka dan melahirkan kekesalan di atas pembubaran DUN Melaka secara luar jangka dalam tempoh pemulihan pandemik ini.

“Namun PAS menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah mendepani PRN sekiranya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum pembubaran DUN Melaka pada Isnin, yang dicetuskan oleh konflik dalaman kerajaan negeri Barisan Nasional-Perikatan Nasional, Umno memegang kerusi terbanyak berbanding parti lain dengan 14 ADUN, sementara Bersatu hanya memiliki dua.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat ADUN, termasuk dua daripada Umno dan satu Bersatu, mengumumkan penarikan sokongan mereka.

Tiada ulasan: