07 Oktober 2021

Jokowi setuju ampunkan profesor dijel kerana sembang WhatsApp

 

Presiden Indonesia Joko Widodo telah menyatakan mahu menyemak semula undang-undang kontroversi itu tahun ini. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo telah bersetuju mengampuni seorang ahli akademik yang dipenjara kerana fitnah, bulan lalu, di bawah undang-undang internet kontroversi, kata seorang menteri hari ini, susulan kecaman kumpulan hak asasi manusia yang menuduh perundangan itu menyekat kebebasan bersuara.

Saiful Mahdi, pensyarah dari Aceh, dipenjara tiga bulan kerana kenyataan dibuat dalam kumpulan sembang WhatsApp bersama rakan akademiknya, yang mengkritik proses pengambilan kerja pensyarah.

Susulan kes terhadap Saiful itu, ramai menyuarakan rasa tidak puas hati kerana melihat pendakwaan terlalu mudah dilakukan di Indonesia terhadap orang ramai bagi kenyataan dibuat menerusi platform sembang, termasuk yang tidak mengenal pasti orang dimaksudkan.

Amnesty International menyelar undang-undang itu sebagai “sangat cacat.”

Menteri Keselamatan Indonesia Mahfud MD pada Selasa berkata, presiden itu yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi, telah meluluskan pengampunan untuk Saiful dan menantikan maklum balas Parlimen sebelum memberikannya.

Pengampunan Presiden sebelum ini diberikan pada 2019 kepada seorang wanita yang dipenjarakan mengikut undang-undang sama kerana merekodkan panggilan telefon lucah daripada majikannya.

Undang-undang tentang Informasi dan Transaksi Elektronik 2008 direka untuk menyelaraskan aktiviti dalam talian, termasuk berkaitan fitnah dan kenyataan berbaur kebencian.

Sebanyak 768 kes dilaporkan berkaitan undang-undang itu antara 2016 hingga 2020, dengan 88% daripada mereka yang didakwa telah dipenjarakan, kata Damar Juniarto dari Southeast Asia Freedom of Expression Network (SAFEnet).

Jokowi telah menyuarakan mahu menyemak semula undang-undang itu, tahun ini.

Kerajaan telah membentuk pasukan petugas untuk memantau dan menyediakan garis panduan untuk membolehkan penguat kuasa melaksanakannya dengan lebih adil.

Peguam Saiful, Syahrul, memberitahu Reuters anak guamnya itu bersyukur diberi pengampunan itu.

Katanya, 38 ahli akademik di Australia turut menulis kepada Presiden memohon Saiful diberikan pengampunan.

Reuters

Tiada ulasan: