29 Oktober 2021

Indonesia batalkan cuti Krismas, tahun baharu

 

KERAJAAN akan mengenakan sejumlah syarat bagi menghalang pergerakan orang ramai ketika cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu 2022.-AFP

JAKARTA: Menteri Penyelaras Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy meminta orang ramai tidak membuat perancangan pulang ke kampung akhir tahun ini.

Lapor Kompas.com, pihak kementerian akan membuat peraturan ketat seperti tahun lalu bagi mencegah lonjakan kes Covid-19. 

“Tangguhkan dahulu rancangan pulang ke kampung. Jadi, jangan beli tiket dahulu dan jangan berhajat pergi ke lokasi jarak jauh,” katanya selepas mesyuarat penyelarasan di Balai Tawangarum, Solo. 

Muhadjir berkata, pihak pemerintah akan mengenakan sejumlah syarat bagi menghalang pergerakan orang ramai ketika cuti Hari Krismas dan Tahun Baharu 2022. 

Jelasnya, pihak kerajaan juga sudah membatalkan cuti tersebut bagi menghadapi gelombang ketiga Covid-19. 

“Ketika ini kes Covid-19 sudah melandai dan menyaksikan trend penurunan.

“Sebab itu, perlu ada peraturan ketat bagi memastikan Indonesia tidak mengalami lonjakan kes dan gelombang ketiga pandemik,” jelasnya. 

Dalam pada itu, Rahmad Handoyo dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) menyambut baik langkah kerajaan memansuhkan cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu. 

Menurut Handoyo, langkah tersebut merupakan bentuk pertahanan negara serta perlindungan terhadap rakyat dalam menghadapi ancaman gelombang ketiga Covid-19. 

Jelasnya, Indonesia ketika ini mendapat penghargaan dari banyak negara termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam aspek pengendalian Covid-19. 

“Namun, bukan bermakna kita perlu lalai apatah lagi menganggap Covid-19 sudah dapat dikalahkan,” jelasnya. 

UTUSAN.

Tiada ulasan: