29 Oktober 2021

Konflik Sudan kian memuncak, lagi kematian dilaporkan

 Pasukan keselamatan Sudan melakukan kawalan. - FOTO AFP

Pasukan keselamatan Sudan melakukan kawalan. - FOTO AFP

KHARTOUM: Konflik di Sudan semakin memuncak semalam apabila pertempuran terus tercetus antara pasukan keselamatan dengan penunjuk perasaan yang membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Pihak perubatan mendakwa, sekurang-kurang seorang penunjuk perasaan maut, dalam keganasan yang memasuki hari keempat berturut-turut di Khartoum.

Pasukan keselamatan didakwa melepaskan gas pemedih mata dan peluru bersalut getah terhadap penunjuk perasaan yang turun ke jalanan.

Pergolakan terus meruncing ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, bersama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya kerajaan pimpinan awam dipulihkan di Sudan.

"Mesej kami kepada pihak berkuasa tentera di Sudan adalah jelas: Rakyat Sudan mesti dibenarkan untuk mengadakan bantahan secara aman, dan kerajaan peralihan pimpinan awam mesti dipulihkan," kata Biden dalam satu kenyataan.

Majlis Keselamatan PBB pula sebulat suara menzahirkan 'kebimbangan mendalam' akan kemelut itu, sekali gus menggesa semua pihak terbabit untuk berdialog tanpa sebarang prasyarat.

Isnin lalu, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan membubarkan kerajaan dan mengarahkan beberapa pegawai utama diberkas.

Perdana Menteri, Abdalla Hamdok kini diletakkan dalam tahanan rumah, manakala bantahan besar-besaran dijangka diadakan di ibu kota ini, esok.

Sebuah jawatankuasa doktor yang dikaitkan dengan gerakan bantahan, mendakwa sekurang-kurang seorang penunjuk perasaan terkorban dan enam lagi cedera dalam pertempuran di utara Khartoum, semalam.

Ia menjadikan jumlah penunjuk perasaan dilaporkan maut mencecah lapan orang, setakat ini, meningkat daripada tujuh mangsa yang dimaklumkan pegawai kesihatan sebelum itu.

Kira-kira 170 orang pula dilaporkan mengalami kecederaan, setakat ini. - AFP

Tiada ulasan: