26 Oktober 2021

Mesir tarik balik perintah darurat 2017

 (Gambar fail) Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. - FOTO AFP

(Gambar fail) Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi. - FOTO AFP

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam mengumumkan penarikan balik perintah darurat yang berkuat kuasa sejak lebih empat tahun lalu selepas insiden serangan terhadap gereja Kristian Koptik.

Negara ini diletakkan bawah perintah darurat sejak April 2017 susulan pengeboman dua gereja Koptik didakwa dilakukan oleh sekutu kumpulan Daesh yang meragut lebih 40 nyawa.

Penganut Kristian Koptik meliputi kira-kira 10 peratus daripada jumlah populasi Mesir.

"Mesir telah menjadi oasis keselamatan serta kestabilan di rantau ini, terima kasih kepada rakyat yang hebat dan setia.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk membatalkan perintah darurat daripada diperbaharui di seluruh negara," kata al-Sisi dalam Facebook.

Bawah perintah darurat, kuasa polis meliputi menangkap dan menahan orang ramai diperluaskan, manakala hak berperlembagaan termasuk kebebasan bersuara serta berhimpun disekat.

Mesir telah bergelut dengan pemberontakan kumpulan pejuang sejak bertahun-tahun lalu, yang menyaksikan kebanyakan serangan berlaku di Semenanjung Sinai.

Sejak Februari 2018, pihak berkuasa melancarkan operasi memerangi kumpulan pejuang di seluruh negara, dengan keutamaan ditumpukan pada Sinai Utara serta Gurun Barat, menuju ke sempadan Libya. - AFP

Tiada ulasan: