26 Oktober 2021

Bersatu, PAS, Gerakan bertanding wakili PN pada PRN Melaka, kata Muhyiddin

 

PETALING JAYA: Parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat menawarkan calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin turut mengesahkan bahawa tiga parti komponen itu akan bertanding dengan menggunakan lambang Perikatan Nasional.

“Rundingan kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh parti Perikatan Nasional akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi parti Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 5 Okt selepas empat ADUN termasuk bekas Ketua Menteri, Idris Haron menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali yang menyebabkan kerajaan negeri pimpinannya hilang sokongan majoriti.

Susulan itu, PRN Melaka ditetapkan pada 20 Nov, manakala penamaan calon pada 8 Nov dan pengundian awal 16 Nov.

Muhyiddin berkata, Majlis Tertinggi meminta semua parti komponen PN menggerakkan sepenuhnya jentera parti masing-masing dan menggembleng seluruh tenaga untuk memenangi kepercayaan rakyat Melaka.

Terdahulu, Muhyiddin menyatakan bahawa PN akan bertanding di semua 28 kerusi pada PRN 20 Nov, susulan Umno mengesahkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga telah menegaskan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi mana-mana pilihan raya.

FMT/-

Tiada ulasan: