26 Oktober 2021

PRN Melaka uji kemampuan calon pikat pengundi secara maya

 Pendekatan kempen yang kreatif memenuhi kehendak pengundi akan menentukan kejayaan parti yang bertanding pada PRN Melaka 20 November depan. - Foto hiasan

Pendekatan kempen yang kreatif memenuhi kehendak pengundi akan menentukan kejayaan parti yang bertanding pada PRN Melaka 20 November depan. - Foto hiasan

Oleh Dr Noor Nirwandy Mat Noordin

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung membuka perspektif baharu dalam penerimaan masyarakat mengenai proses pengundian. Ia akan menjadi tanda aras baharu dalam menentukan kecenderungan sokongan pengundi yang akan dijalankan ketika pandemik COVID-19.

Walaupun PRN Sabah juga pernah diadakan ketika pandemik COVID-19 pada September tahun lalu dan dikatakan antara punca tercetusnya gelombang penularan, negara ketika itu masih belum memulakan proses vaksinasi, manakala masyarakat masih cuba menyesuaikan keadaan dan memahami kesan pandemik secara menyeluruh.

Bagaimanapun, negara pada ketika ini mencapai kadar vaksinasi dewasa lebih 90 peratus. Ia membuktikan program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai sasaran. Rentas daerah dibenarkan dan kadar kes harian serta kes kematian menurun dengan agak ketara.

Melihat dalam konteks lebih luas, Singapura dan Korea Selatan antara negara mengadakan pilihan raya pada Julai dan April tahun lalu. Kedua-dua negara itu berjaya menjalankan pilihan raya dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dirancang serta dilaksanakan.

Kejayaan kedua-dua pilihan raya berkenaan adalah juga kerana kesedaran sivik tinggi masyarakat mereka bagi memastikan ia berjaya. Gabungan antara pembentukan langkah kawalan pentadbiran kerajaan dan masyarakat awam amat penting dalam memerangi perang asimetri COVID-19.

Hakikatnya, Malaysia juga terbukti berjaya mengawal pandemik COVID-19 melalui kaedah pembentukan pematuhan SOP yang diperbincangkan dan dipersetujui melalui sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tujuan utama adalah untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara selaras dengan Dasar Keselamatan Negara. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berperanan untuk merancang pengoperasian termasuk kaedah pengundian lebih praktikal dan selamat bagi melindungi masyarakat.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan pematuhan SOP bagi menghadapi PRN Melaka, iaitu tiada kempen bersemuka akan dibenarkan. Ini bermaksud apa juga bentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan sehingga 27 November ini.

Sebarang pelanggaran terhadap peruntukan itu akan tertakluk kepada tindakan di bawah Akta 342. Pematuhan itu akan memastikan pengundi tidak terdedah kepada risiko penularan COVID-19 namun apakah kesannya pada strategi parti yang akan bertanding?

Malah, timbul juga persoalan apakah semua parti akan patuh pada arahan berkenaan sepenuhnya?

Dalam mana-mana pilihan raya, aspek kempen politik, strategi mendekati pengundi dan pendekatan perang saraf serta gerak saraf adalah sebahagian kaedah untuk memenangi pilihan raya.

Komposisi strategik itu akan digerakkan bilik gerakan peperangan (war room) parti bagi memberikan kesan kepada pola sokongan pengundian.

Kempen pilihan raya secara maya menguji kemampuan calon dan parti untuk membentuk jaringan pengaruh serta sokongan melalui platform digital. Forum digital serta kempen tersasar mengenai calon perlu diadaptasikan bagi mempersonakan masyarakat dengan keperibadian calon.

Jentera digital parti berkaitan harus memainkan peranan strategik berbanding aktivis tradisional jentera pilihan raya ketika kempen digital dijalankan berbanding kempen secara bersemuka.

Antara bentuk tarikan dalam kempen digital adalah mewujudkan keterbukaan menerima kritikan dan membuka ruang pada komen membina secara lebih terbuka daripada masyarakat pengundi.

Kempen digital juga akan dinilai sama ada ia berupaya membuatkan rasa percaya kepada pengundi dengan menzahirkan sifat sebenar calon yang perlu berusaha membina ruang kepercayaan tanpa hierarki dalam konteks pengolahan pengucapan digital khususnya.

Pada masa sama, meme dan troll (hasut maya) dijangka terus dipelbagaikan selaras dengan kempen sebelum kemuncak pengundian berlaku.

Bagaimanapun konsep propaganda politik tidak harus tertumpu kepada elemen konservatif propaganda politik, iaitu pembunuhan karakter, tohmahan, sindiran serta penghujahan emosi singkat yang sewajarnya dihentikan.

Masyarakat sering dihidangkan dengan elemen itu menjelang pilihan raya terutama melalui media sosial. Ini membuktikan sebenarnya kita sudah lama menjadi mangsa kempen digital politik walaupun tanpa pilihan raya.

Malahan sikap segelintir masyarakat yang gemar berkongsi perkara negatif dalam isu perbincangan politik menjadikan ia lebih ke arah sensasi dan beremosi.

PRN Melaka boleh dijadikan medan mengukur kemampuan sebenar ahli politik bagi menerangkan manifesto berkepentingan rakyat. Calon bertanding harus menyiapkan hujah digital berbentuk penyelesaian, iaitu satu budaya ahli politik berkepentingan masyarakat yang perlu dibiasakan semua ahli politik termasuk calon pilihan raya.

Media sosial khususnya adalah sebahagian kehidupan masyarakat, justeru interaksi dan pemahaman asas berhubung situasi politik sudah wujud sebagai penilaian masyarakat kerana pembabitan serta maklumat politik negara mudah diakses serta didapati.

Adalah menjadi harapan masyarakat menjelang PRN, tanggungjawab sivik dan imej ahli politik kayangan perlu dihilangkan dengan pematuhan SOP bersungguh-sungguh oleh semua jentera parti serta calon yang akan bertanding.

Inovasi untuk menghadirkan diri secara digital dengan lebih formal khususnya semasa dan selepas penanaman calon, kempen digital kreatif serta menonjolkan kekuatan jentera perlu dibentuk serta dilihat meyakinkan.

Pengundi ingin melihat usaha serta pematuhan SOP yang jelas oleh calon bertanding dan ia perlu dijadikan asas sokongan pengundi ketika PRN.

Bagaimanapun, pengundi saluran satu dan dua dijangka menghadapi sedikit permasalahan dalam menyesuaikan diri dalam perlumbaan kempen digital.

Namun, mereka sebenarnya tidak akan terpinggir secara keseluruhan kerana dalam era aplikasi komunikasi digital peribadi secara dasarnya hebahan politik yang kini di hujung jari lazimnya akan menjadi cerita rakyat dalam kejiranan dan kekeluargaan.

Kebiasaan pendekatan politik ramah mesra rakyat sudah sebati dengan mereka, justeru calon yang bertanding perlu membentuk pendekatan separuh maya kepada golongan terbabit serta memastikan mereka rasa didekati.

Antara dicadangkan adalah dengan memberikan maklumat dengan khidmat layanan konservatif yang semakin dilupakan, menggunakan perkhidmatan pos dan setem.

Penulis adalah Penganalisa Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media & Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

bharian/-

Tiada ulasan: