26 Oktober 2021

Kes COVID-19 di Sabah tunjuk trend penurunan

 

KOTA KINABALU: Sabah menunjukkan trend penurunan kes COVID-19 dengan mencatatkan sebanyak 450 kes baharu iaitu angka paling rendah sejak 16 Julai lepas.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata 16 daerah mencatatkan jumlah penurunan kes semalam dan berharap, trend ini berterusan.

Bagaimanapun, katanya lapan daerah mencatatkan peningkatan kes manakala tiga daerah lagi kekal.

"Hanya dua daerah melepasi catatan 50 kes dan 19 daerah merekodkan di bawah paras 20 kes.

"Daerah Kota Belud (64 kes) dan Ranau (54 kes) kekal menyumbang angka tertinggi catatan baharu jangkitan kes COVID-19 di kala daerah lain mula menunjukkan trend penurunan.

"Ini diikuti Kota Kinabalu mencatatkan sebanyak 43 kes, Tenom (36); dan Kinabatangan, 33 kes," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri, berkata jumlah kematian kekal mencatatkan sebanyak satu angka.

"Sebanyak lapan kes kematian dilaporkan pada hari ini (semalam) iaitu empat kes di daerah Kota Belud, dua kes di Tawau dan masing-masing satu kes di Kota Marudu serta Kudat.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 568 menjadikan jumlah kumulatif 203,833 orang," katanya.

Tiada ulasan: