26 Oktober 2021

Hong Kong mahu perketat sekatan perjalanan

 Lam bercakap pada sidang media di Hong Kong, hari ini. - FOTO EPA

Lam bercakap pada sidang media di Hong Kong, hari ini. - FOTO EPA

HONG KONG: Hong Kong akan memperketatkan sekatan perjalanan yang dilaksanakan dalam usaha mengekang penularan COVID-19, bagi menjadikannya lebih seiring dengan Tanah Besar China.

Perkara itu diumumkan pemimpin Hong Kong, hari ini, ketika ia terus mencatat pencapaian tiada perebakan tempatan yang besar sejak lebih dua bulan lalu.

Pengumuman itu menyusul walaupun komuniti perniagaan hab antarabangsa ini bimbang akan keterasingan Hong Kong daripada dunia luar, dengan pelaksanaan antara rejim kuarantin wajib yang paling ketat.

Kebanyakan individu yang tiba di Hong Kong diwajibkan menjalani kuarantin antara 14 hingga 21 di hotel.

"Tidak lama lagi, kita bakal mengumumkan pembatalan sebahagian besar daripada pengecualian kuarantin yang diberi kepada kumpulan pelawat tertentu dari luar negara dan Tanah Besar," kata Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam.

Beliau berkata, hanya pekerja penting seperti pemandu trak merentas sempadan, akan dibenarkan perjalanan bebas kuarantin.

Ketika ini, Hong Kong membenarkan kumpulan individu tertentu untuk dikecualikan daripada kuarantin atau menjalani pengasingan di rumah.

Mereka termasuk pemimpin perniagaan dan diplomat, di samping rakyat Tanah Besar yang memegang kad penduduk Hong Kong.

Namun, Lam tidak memperincikan kategori individu yang tidak akan dibenarkan pengecualian kuarantin nanti. - AFP

Tiada ulasan: