26 Oktober 2021

Sasar suntik 1.5 juta dos sehari elak tarikh luput vaksin

 Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membangkitkan kebimbangan kemungkinan pembaziran vaksin COVID-19, dan mengarahkan meningkatkan kadar inokulasi. - Foto AFP

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membangkitkan kebimbangan kemungkinan pembaziran vaksin COVID-19, dan mengarahkan meningkatkan kadar inokulasi. - Foto AFP

MANILA: Filipina merancang melonjakkan kadar pemberian vaksin COVID-19 kepada 1.5 juta dos sehari, bagi mengelak kemungkinan pembaziran vaksin itu mencecah sekitar 40 juta dos.

Negara itu yang mahu membuka semula ekonomi yang terkesan akibat sekatan COVID-19, kini berdepan cabaran mengagihkan bekalan vaksin yang stabil daripada pelbagai sumber, termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan fasiliti COVAX.

Minggu lalu, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan pembaziran itu, dan mengarahkan ketua hal ehwal vaksin, Carlito Galvez meningkatkan kadar inokulasi.

Menurut Galvez, kira-kira 400,000 dos vaksin Moderna yang dibeli oleh syarikat swasta akan melepasi tarikh luput bulan depan.

Semalam, Jabatan Kesihatan Filipina memaklumkan sudah meluluskan dasar baharu di mana sektor swasta boleh 'meminjamkan' vaksin yang menghampiri tarikh luput kepada kerajaan.

"Apabila tiba waktu di mana mereka memerlukan vaksin itu, kami akan menggantikannya kepada mereka," kata jurucakap Jabatan Kesihatan Filipina, Rosario Vergeire.

Menerusi dasar baharu itu, kata Vergeire, 356,000 dos vaksin Moderna yang dimiliki sektor swasta, sudah diagihkan ke wilayah berhampiran Manila.

Sebelum ini, konsortium sektor swasta merangkumi puluhan syarikat, memohon pelaksanaan pemberian vaksin yang lebih fleksibel, dengan membenarkan kanak-kanak serta remaja berusia 12 hingga 17 tahun disuntik, selain dos penggalak diberikan kepada pekerja mereka.

Buat masa ini, kerajaan Filipina sudah memulakan vaksinasi golongan bawah umur, namun hanya kepada individu yang memiliki komorbiditi.

Dalam pada itu, Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque sudah meluluskan pemberian dos ketiga kepada golongan yang memiliki masalah imun, warga emas dan petugas kesihatan, namun pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Filipina. - AFP

Tiada ulasan: