AMMAN: Ratusan rakyat Jordan dilaporkan berkumpul di sekitar Amman bagi membantah perjanjian air-tenaga elektrik yang dimeterai negara itu dengan Israel.
Menurut laporan Al Jazeera, rakyat Jordan seboleh-bolehnya tidak mahu negara itu menjalin hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.
Penunjuk perasaan menyuarakan bantahan terhadap sebarang hubungan diplomatik dengan Israel ketika regim Yahudi itu terus menjajah wilayah Palestin.
Malah, beberapa pihak turut memberi amaran bahawa perjanjian itu akan memaksa Jordan bergantung sepenuhnya terhadap Israel dan 'dijajah' secara tidak langsung.
Sekiranya perjanjian itu dilaksanakan, maka ia akan menjadi salah satu projek kerjasama paling besar sejak negara berkenaan menandatangani perjanjian damai 27 tahun lalu.
Di bawah perjanjian itu, Jordan akan menerima 200 juta meter padu air laut yang disuling daripada Israel sebagai pertukaran bagi 600 megawatt tenaga elektrik dijana dari loji tenaga solar yang dibiaya Emiriah Arab Bersatu (UAE) di negara itu.
Dilaporkan, satu dokumen berhubung projek itu ditandatangani antara Menteri Air Jordan, Mohammed al Najjar; Menteri Tenaga Israel, Karine Elharrar dan Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed sambil disaksikan oleh Utusan Khas Iklim Amerika Syarikat (AS), John Kerry, pada Isnin lalu.
Sementara itu, seorang ahli Parlimen di Jordan, Saleh al-Armouti mengecam perjanjian itu dengan menegaskan beliau tidak mempercayai Israel.
"Sekiranya Israel menandatangani perjanjian, biasanya mereka tidak melakukan apa yang dijanjikan," katanya. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan