KUANTAN: Indonesia dicadangkan sebagai negara kedua bagi pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) dengan Malaysia selepas Singapura yang akan bermula Isnin ini, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata VTL itu, jika dilaksanakan akan melibatkan dua lokasi di Indonesia iaitu Kuala Lumpur-Jakarta dan Kuala Lumpur-Bali pada peringkat awal, sebelum diikuti dengan laluan lain.
“Buat masa ini, kita tidak mempunyai jangka masa bila ia dapat dilakukan, namun berharap ia bermula pada awal tahun depan seperti yang dibincangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada lawatan ke Indonesia sebelum ini.
“Ini mungkin boleh diikuti dengan laluan ke tempat lain, namun demikian kita sangat berhati-hati dalam membuka sempadan negara terutamanya dengan penemuan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dari Afrika,” katanya.
Saifuddin yang juga Ketua Bersatu Pahang berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Tahunan Bersatu Peringkat Bahagian Indera Mahkota di Kompleks Dagangan Mahkota di sini semalam.
Berhubung pelaksanaan VTL antara Malaysia-Singapura, Saifuddin berkata Perdana Menteri kedua-dua negara dijadualkan berada di Singapura pada Isnin ini, sebagai simbolik kepada pelaksanaan VTL.
BERNAMA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan