SUNGAI SIPUT: Pelantikan Mufti Perak yang baharu adalah prerogatif Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sehubungan itu semua pihak tidak ada hak untuk membantah pelantikan berkenaan.
“Saya tidak boleh komen apa-apa kerana bukan hak kita untuk buat bantahan sebab itu prerogatif Sultan Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penghijauan Malaysia Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Menurut Saarani, beliau yakin kebijaksanaan Sultan Nazrin akan mengambil kira pandangan dan nasihat.
“Baginda akan melantik orang yang betul, di tempat yang betul, Insya-Allah,” katanya.
Saarani mengulas isu tular dalam media sosial mengenai Ulama Pondok Perak yang menolak pelantikan individu dari aliran atau fahaman Syiah, Wahabi dan sebagainya sebagai Mufti Perak.
Sehingga kini status bantahan itu telah dikongsi lebih 3,000 pengguna Facebook dan mendapat 10,000 tanda suka.
Jawatan Mufti Perak masih kosong selepas kematian Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 30 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan