28 November 2021

Royalti petroleum: PAS syor tubuh jawatankuasa khas

 

PASIR MAS: PAS mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menubuhkan satu jawatan kuasa bebas untuk mengesahkan berhubung tuntutan royalti petroleum Kelantan.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jawatan kuasa bebas itu juga perlu dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.


“Malah, kita juga akan membincangkan isu itu dengan beberapa pihak terutamanya Kementerian Kewangan berhubung status terkini tentang royalti petroleum berikutan dilihat tidak ada kesamaan di antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berhubung isu royalti minyak.

“Dan mungkin satu jawatan kuasa bebas yang dipersetujui oleh Kerajaan Negeri dan Pusat untuk kita mengesahkan beberapa perkara seperti jarak 3 batu nautika dan masing-masing ada fakta-fakta. Selain itu, jumlah pengeluaran (minyak) juga perlu ditentukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, mengenai soal batu nautika dahulu tidak ada dalam perjanjian dan ini juga akan dilihat dan dibincangkan.

“Saya fikir pasti akan ada jalan penyelesaian lebih mudah memandangkan kita juga bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan perkara ini akan dapat selesai,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 24 November lalu beliau berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Malah, semalam Menteri Besar Kelantan Dato’ Ahmad Yakob turut memohon penjelasan lanjut daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kenyataan Tengku Zafrul mengenai pembayaran royalti petroleum. – HARAKAHDAILY 28/11/2021

Tiada ulasan: