28 November 2021

Dunia berlumba-lumba mengekang varian baharu COVID-19

 Sebuah ambulans yang mengangkut penumpang penerbangan dari Afrika Selatan yang disahkan positif COVID-19 memandu ke hotel di mana mereka akan dikuarantin. - Foto AFP

Sebuah ambulans yang mengangkut penumpang penerbangan dari Afrika Selatan yang disahkan positif COVID-19 memandu ke hotel di mana mereka akan dikuarantin. - Foto AFP

SCHIPOL: Beberapa negara Eropah semalam mengumumkan kes pertama mereka bagi strain coronavirus baharu yang sangat mudah berjangkit, ketika kerajaan di seluruh dunia mula menutup pintu untuk membendung varian baharu COVID-19, Omicron.

Britain, Jerman dan Itali mengesahkan kes pertama mereka bagi strain baharu COVID-19, manakala pihak berkuasa Belanda mengkuarantin 61 penumpang dari Afrika Selatan yang didapati positif COVID-19.

Afrika Selatan mengadu ia 'dihukum' dengan larangan perjalanan udara kerana pertama kali mengesan varian itu, yang disebut oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai 'varian membimbangkan'.

Beberapa negara di seluruh dunia mula menyekat perjalanan dari rantau Afrika untuk cuba mengelak sebarang ancaman terhadap usaha global menentang wabak itu.

Saintis berlumba-lumba untuk menentukan ancaman yang ditimbulkan oleh strain yang sangat bermutasi, terutamanya sama ada ia boleh mengelak daripada vaksin sedia ada.

Ia terbukti lebih mudah ditularkan daripada varian Delta yang dominan.

Pelancong membanjiri lapangan terbang antarabangsa Johannesburg, terdesak untuk menaiki penerbangan terakhir ke negara yang sudah mengenakan larangan mengejut perjalanan.

Ramai daripada mereka memendekkan cuti, bergegas pulang dari safari dan ladang anggur Afrika Selatan.

"Ia tidak masuk akal. Kita akan sentiasa mempunyai varian baharu," kata pelancong Britain, David Good kepada AFP.

"Afrika Selatan menemuinya, tetapi ia mungkin sudah ada di seluruh dunia.

"Virus itu telah pun menyelinap melalui rantaian, dengan kes ditemui di Eropah, Hong Kong dan Israel serta di selatan Arika.

Britain semalam mengumumkan peraturan kemasukan yang lebih ketat untuk semua penumpang yang tiba dan kembali mewajibkan pelitup muka, selepas mengesahkan dua kes pertama jangkitan Omicron baharu COVID-19.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata pelitup muka sekali lagi akan diperlukan di kedai dan di pengangkutan awam.

Sebuah hospital di Republik Czech mengesahkan kes varian Omicron pada pesakit wanita yang mengembara dari Namibia.

Jerman mengesahkan dua kes pertama dalam pengembara yang tiba di lapangan terbang Munich dari Afrika Selatan.

Itali mengumumkan kes pertama jangkitan varian baharu COVID-19 itu dalam pengembara dari Mozambique dan pegawai Belanda berkata, varian Omicron 'mungkin' berada dalam kalangan 61 penumpang yang telah tiba dalam dua penerbangan dari Afrika Selatan sehari sebelumnya dan diuji positif untuk COVID-19.

Penumpang dalam dua penerbangan KLM, yang berlepas sebelum Belanda mengumumkan larangan mereka ke atas pelancong dari wilayah itu, telah dikuarantin di sebuah hotel.

Di Amerika Syarikat (AS), seorang pegawai Rumah Putih berkata, Presiden Joe Biden diberi taklimat mengenai situasi Omicron dan pegawai kesihatan sedang memantau keadaan.

Kelmarin, Belgium sudahpun mengumumkan kes pertamanya membabitkan orang yang tidak divaksinasi yang pulang dari luar negara.

WHO berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk memahami varian itu, yang pada mulanya dikenali sebagai B.1.1.529. - AFP

Tiada ulasan: