24 Disember 2021

32 maut feri terbakar di Bangladesh

 

Feri tiga tingkat yang sarat dengan 500 penumpang ini terbakar di tengah sungai di Jhalokhati, Bangladesh pada awal pagi Jumaat, 24 Disember 2021 (Foto Twitter@IANS_India)

Susunan YUSMAN AWANG

BANGLADESH: Sekurang-kurangnya 32 orang maut dan 100 tercedera selepas sebuah feri yang sarat dengan 500 penumpang terbakar pada awal pagi Jumaat (24 Dis) dalam kejadian yang berlaku di Selatan Bangladesh.


Pihak polis tempatan berkata, kejadian berlaku berhampiran bandar luar bandar selatan Jhalokathi, 250km (155 batu) di selatan ibu negara, Dhaka. 

“Feri (Obhijan 10) tiga tingkat itu terbakar di tengah sungai. Kami telah menemui 32 mayat. Angka kematian mungkin meningkat. 

“Kebanyakan  mangsa mati akibat kebakaran dan beberapa orang lagi lemas selepas mereka terjun ke dalam sungai,” kata ketua polis tempatan, Moinul Islam, lapor AFP.

Menurut Islam, api dipercayai berpunca dari bilik enjin dan kemudian merebak ke seluruh bahagian feri yang penuh sesak dengan orang ramai yang pulang dari Dhaka.

“Kami telah menghantar kira-kira 100 orang yang mengalami kecederaan melecur ke hospital di Barisal,”  ujarnya.

Sehubungan itu, sebuah video yang tular di media sosial menunjukkan feri tersebut sedang marak terbakar.

Pakar kemalangan di negara dengan 170 juta penduduk itu menyalahkan penyelenggaraan yang lemah, piawaian keselamatan yang longgar di limbungan kapal dan kesesakan penumpang.

Kebakaran merupakan punca tragedi sering melibatkan kematian beramai-ramai di Bangladesh. 

Pada Julai 2021, 52 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang makanan dan minuman di Rupganj, sebuah bandar perindustrian di luar Dhaka.

Sekurang-kurangnya 70 orang pula maut pada Februari 2019 apabila kebakaran memusnahkan pangsapuri Dhaka, yang menjadi bahan kimia disimpan secara haram.

Tragedi melibatkan kenderaan awam di peraian juga sesuatu yang kerap berlaku di negara ini. Pada Ogos  2021, sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh apabila sebuah bot yang penuh dengan penumpang dan sebuah kapal kargo sarat pasir bertembung di sebuah tasik di timur Bangladesh.

Bot itu dilaporkan membawa kira-kira 60 penumpang apabila haluan keluli kapal kargo itu merempuh kapal lain berhampiran bandar Bijoynagar.

Penyelam terpaksa menyelusuri lebih banyak mayat di perairan berlumpur yang keruh selepas hujung keluli kapal kargo dan bot itu berlanggar, menyebabkan kapal penumpang itu terbalik.

Pada April dan Mei 2021 pula, 54 orang terbunuh dalam dua kemalangan kapal berasingan.

Pada Jun tahun lalu, sebuah feri karam di Dhaka selepas ia dilanggar dari belakang oleh feri lain, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang.

Pada Februari 2015, sekurang-kurangnya 78 orang maut apabila sebuah kapal yang sesak bertembung dengan sebuah kapal kargo. – HARAKAHDAILY 24/12/2021

Tiada ulasan: