24 Disember 2021

Banjir Taman Sri Muda pulih, penduduk sibuk cuci rumah

 Mangsa banjir K Mohan,55, (kanan) bersama adiknya K Kalimuthu,48, (kiri), membersihkan rumah mereka yang ditenggelami air berikutan banjir yang melanda di Taman Seri Muda Seksyen 25 - Foto BERNAMA

Mangsa banjir K Mohan,55, (kanan) bersama adiknya K Kalimuthu,48, (kiri), membersihkan rumah mereka yang ditenggelami air berikutan banjir yang melanda di Taman Seri Muda Seksyen 25 - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Seminggu selepas kejadian banjir yang menimpa Taman Sri Muda, di sini, kini keadaan semakin pulih apabila air tidak lagi bergenang di kawasan-kawasan terjejas malah cuaca cerah turut menerangi penempatan yang terletak dekat Seksyen 25 itu.

Tinjauan BERNAMA di beberapa lokasi perumahan yang dilanda banjir sebelum ini, mendapati ramai penduduk mula mencuci kediaman mereka yang terkesan susulan kejadian bencana itu pada 18 Dis lalu.

Kelihatan masing-masing bersama keluarga sibuk membersihkan halaman rumah, mencuci perabot, mengumpul barangan keperluan yang masih boleh digunakan serta membuang barangan rosak akibat banjir.

Sungguhpun begitu, rata-rata penduduk yang ditemui meluahkan rasa syukur kerana dapat pulang semula ke rumah dan meneruskan kehidupan mereka dengan harapan tragedi seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.

Seorang penduduk di Taman Sri Muda 2, Azli Mohd Yusof, 43, berkata kejadian banjir itu adalah kali pertama dialaminya sejak menetap di kawasan perumahan ini 10 tahun lalu, namun bersyukur kesemua ahli keluarganya terselamat daripada sebarang perkara tidak diingini.

"Alhamdulillah. Keadaan sudah semakin baik dan kami sekeluarga pun telah pulang ke rumah semalam selepas dibenarkan pihak berkuasa. Sekarang agak sibuk untuk membersihkan rumah," kata bapa kepada empat anak itu.

L Banathan, 42, yang menetap di kawasan perumahan dekat Jalan Amanah di Taman Sri Muda pula pasrah dengan nasib yang menimpa susulan bencana itu bagaimanapun dia gembira apabila keadaan beransur pulih.

"Cuma saya harapkan lebih ramai yang sudi bantu menyumbangkan tenaga untuk cuci rumah kami yang terjejas termasuk banyak juga longgokan sampah di kawasan persekitaran ini," katanya.

Kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir giat dijalankan di Taman Sri Muda. Seluruh Taman Sri Muda tengelam beberapa hari sejak sabtu (18 disember)susulan banjir besar yang berlaku kerana hujan lebat yang berterusan selama 2 hari. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir giat dijalankan di Taman Sri Muda. Seluruh Taman Sri Muda tengelam beberapa hari sejak sabtu (18 disember)susulan banjir besar yang berlaku kerana hujan lebat yang berterusan selama 2 hari. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

Selain itu, pemerhatian mendapati peniaga bersama pekerja-pekerja di pusat komersial berdekatan Plaza Taman Sri Muda mula membersihkan premis perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir.

Seorang pemilik kedai barangan elektronik yang tidak mahu dikenali meluahkan rasa sedih berikutan banyak produk jualannya rosak sehingga mengakibatkan kerugian lebih RM100,000.

"Tetapi hendak buat macam mana, benda sudah jadi. Kita (peniaga) harap supaya kerajaan akan pertimbangkan inisiatif tambahan lagi kepada mangsa-mangsa banjir sebab sekarang ini susah mahu bertahan," kata lelaki berusia 39 tahun itu.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Hussein Omar Khan berkata keadaan banjir di Taman Sri Muda semakin pulih dan air juga sudah surut di setiap kawasan terjejas banjir itu.

 Penghuni yang mahu dikenali "Mark" membersihkan rumahnya yang telah dihiasi untuk sambutan Hari Krismas berselerak dan mengalami kemusnahan harta benda di Taman Sri Muda. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Penghuni yang mahu dikenali "Mark" membersihkan rumahnya yang telah dihiasi untuk sambutan Hari Krismas berselerak dan mengalami kemusnahan harta benda di Taman Sri Muda. - Foto NSTP/OSMAN ADNAN

Justeru, katanya, ketika ini penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing untuk menjalankan kerja pembersihan namun pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi bagi memberi ruang kepada mangsa untuk berada di PPS sehingga mereka selesai membersihkan rumah.

"Ada yang sudah mendiami rumah mereka tetapi mengikut keadaan rumah masing-masing, ada juga sebahagian yang berlindung di PPS kerana di PPS ada penyediaan makanan, rawatan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.

Beliau turut berkata kerja-kerja pembersihan giat dijalankan di kesemua kawasan terjejas yang melibatkan petugas daripada pelbagai agensi berkaitan antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termasuklah badan bukan kerajaan serta sukarelawan.

– BERNAMA

Tiada ulasan: