Oleh ZULKEFLI HUSSIN
PASIR PUTEH: Ikan pekasam air tawar keluaran Hanafi Yaakob, 78, di Kampung Tasek dekat sini mendapat permintaan tinggi sempena musim tengkujuh sekarang.
Katanya jumlah jualan pada bulan-bulan lain hanya sekitar RM2,000 namun sekarang mencecah kepada lebih RM3,000 sebulan.
Beliau berkata, bermula Oktober lepas permintaan pelbagai pihak yang datang membeli termasuk dari Kota Bharu dan Pasir Puteh begitu mengggalakkan.
Selain itu beliau juga menjual ikan pekasam keluarannya di pasar-pasar tani di Machang dan Laloh Kuala Krai.
“Paksu juga menerima tempahan dari pemborong-pemborong dari seluruh negara terutama Kuala Lumpur, Johor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Paksu Nafi berkata, bekalan ikan segar spesies lampam, lambak, loma, selat, sepat, puyu, haruan, tilapia dan patin diperolehi dari nelayan darat di sekitar kampungnya.
Menurutnya ikan-ikan berkenaan diperolehi di bendang, parit dan sungai termasuk dari Lubuk Setar, Sungai Semerak yang merupakan pengeluaran ikan air tawar terbesar di Kelantan.
“Biasanya pada musim hujan bekalan ikan yang paksu dapat bekalan berlebihan kerana ikan banyak terkena pukat dipasang oleh penduduk kampung,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan