24 Disember 2021

Penduduk Hulu Tembeling terputus hubungan darat ke Jerantut

 MENDAPAN di beberapa kawasan sepanjang jalan raya antara Kampung Tuit ke Hulu Tembeling. FOTO Ihsan pembaca

MENDAPAN di beberapa kawasan sepanjang jalan raya antara Kampung Tuit ke Hulu Tembeling. FOTO Ihsan pembaca

Jerantut: Kira-kira 2,000 penduduk di lima kampung di pedalaman Hulu Tembeling terputus hubungan dengan bandar Jerantut akibat mendapan tanah selain tebing runtuh di beberapa laluan akibat hujan sejak lima hari lalu.

Antara laluan yang dikenal-pasti ialah di jalan berdekatan Kem Nusa, Kuala Tahan, pusat perhentian Bukit Awan di Kampung Pagi dan laluan Bukit Komel antara Kampung Kuala Sat ke Kampung Mat Daling.

Menurut penduduk, beberapa kawasan yang merekodkan mendapan tanah pernah dibaiki pertengahan tahun ini namun ia mendap semula, termasuk berlaku runtuhan tebing, berikutan musim tengkujuh.

Keadaan itu mengundang masalah bagi penduduk Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai kerana tidak dapat keluar ke bandar Jerantut.

Jika baik pulih selain naik taraf lokasi berkaitan tidak disegerakan, ia akan menyebabkan aktiviti sektor eko pelancongan di semua kampung itu terhenti.

Penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 58, berkata, jalan berkenaan kini tidak boleh dilalui kenderaan kerana ia mendap sedalam kira-kira 30 sentimeter malah kelebaran mendapannya mencapai separuh laluan terbabit.

"Struktur jalan yang trosak ini antaranya membabitkan laluan berdekatan Bukit Awan. Ia boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jika terus digunakan," katanya.

Penduduk Kampung Pagi, Mustapa Abdullah, 31, pula mengatakan yang kebanyakan laluan di situ tidak selamat digunakan kerana setiap kali musim tengkujuh, akan berlaku mendapan dan tebing runtuh.

"Tambahan pula, laluan dari Jalan Tuit ke Hulu Tembeling tidak begitu kuat kerana kerap digunakan oleh lori balak sebelum musim tengkujuh.

"Pihak berkuasa perlu melihat keadaan ini dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Penggiat dan pengusaha eko pelancongan, Khamri Basri, 41, berkata, kerosakan jalan raya di Hulu Tembeling memberi kesan kepada pembangunan sektor pelancongan di kampung di pesisir Sungai Tembeling.

"Kami baru saja hendak mula 'cari makan' dan menjana pendapatan dalam tempoh fasa pemulihan pandemik namun jalan pula tidak boleh dilalui kenderaan penduduk serta pengunjung luar.

"Penggunaan bot di Sungai Tembeling juga masih belum pulih kerana musim tengkujuh. Pengunjung yang melancong ke Taman Negara dan Hulu Tembeling pula gemar memilih jalan darat kerana lebih cepat serta selamat," katanya.

Khamri berharap semua kerosakan itu dapat dibaik pulih segera demi kepentingan penduduk, pengunjung dan pengusaha sepertinya.

HMETRO.


Tiada ulasan: