01 Disember 2021

Amal by Malaysia Airlines kembali bawa jemaah umrah

 Sebahagian daripada jemaah umrah pada Majlis Pelepasan Jemaah Umrah melalui penerbangan pertama pesawat Amal by Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - Foto BERNAMA

Sebahagian daripada jemaah umrah pada Majlis Pelepasan Jemaah Umrah melalui penerbangan pertama pesawat Amal by Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) - Foto BERNAMA

SEPANG: Amal by Malaysia Airlines, penyedia penerbangan sewa khas untuk haji dan umrah, semalam kembali berkhidmat membawa kumpulan umrah pertamanya selepas perkhidmatan terhenti pada 7 Mac 2020 ekoran pandemik COVID-19.

Untuk penerbangan semalam, sebanyak 228 jemaah umrah berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) terus ke Madinah menggunakan pesawat Airbus A330.

Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor, berkata untuk jadual penerbangan hingga April tahun hadapan, syarikat itu menawarkan penerbangan lapan kali seminggu, iaitu empat penerbangan ke Jeddah dan empat lagi penerbangan ke Madinah.

"Ini kira-kira 40 peratus kurang daripada frekuensi penerbangan sebelum pandemik yang ketika itu kami menawarkan penerbangan terus ke Jeddah dan Madinah sebanyak dua kali sehari," katanya.

Amal by Malaysia Airlines turut menawarkan pengurangan sebanyak lima peratus pada harga tiket penerbangan, katanya kepada media selepas majlis pelepasan penerbangan umrah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, di sini semalam.

Amal by Malaysia Airlines adalah anak syarikat Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) yang menawarkan ciri-ciri unik dalam penerbangan berasaskan umrah dan haji seperti talbiah, doa musafir, laungan azan dan tazkirah serta pengumuman miqat bagi memastikan pengalaman ziarah dimulakan sebaik sahaja penumpang memasuki pesawat.

Muhammad Najmi berkata, prestasi syarikat dijangka kembali seperti sebelum pandemik COVID-19 menjelang suku keempat 2022 yang disokong oleh kekerapan penerbangan ke Madinah dan Jeddah.

"Permintaan untuk menjalani ibadah umrah sememangnya ada. Seperti yang kita lihat pada penerbangan hari ini (semalam) beroperasi dengan hampir 100 peratus muatan, kami menjangkakan permintaan terus meningkat.

"Menjelang Mei 2022, kami menyasarkan dapat membawa sehingga 75,000 penumpang namun ia bergantung kepada situasi semasa COVID-19, yang perlu kita pantau secara berterusan," katanya.

Sementara itu, Idris yang ditemui media berkata beliau tidak menolak kemungkinan subsidi haji untuk 2022 dikekalkan seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Setakat hari ini begitu (subsidi kekal). Final belum bincang (lagi). InsyaAllah pihak pengurusan Tabung Haji akan memberi taklimat kepada saya dan kemudian kita bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri," katanya.

Menurut laporan media pada Mac lalu, kos mengerjakan haji tahun ini meningkat kira-kira sembilan peratus kepada sekurang-kurangnya RM25,000 bagi seorang jemaah haji berbanding RM22,900 pada 2019 dan 2020.

Ketika ini, bayaran perlu ditanggung jemaah haji negara adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009, manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.

-BERNAMA

Tiada ulasan: