01 Disember 2021

Tiada Omicron di Malaysia setakat ini

 Kajian penjujukan genom mendapati tiada varian Omicron COVID-19 dikesan di Malaysia. - Foto hiasan

Kajian penjujukan genom mendapati tiada varian Omicron COVID-19 dikesan di Malaysia. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengesahkan tiada varian Omicron COVID-19 di Malaysia, sehingga kini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata hasil itu diperoleh berikutan kajian penjujukan genom yang dilakukan oleh tujuh makmal, termasuk Institut Genom dan Vaksin Malaysia.

"Sehingga semalam, sebanyak 5,651 sampel dianalisis dan 3,885 sampel dikenal pasti sebagai varian jenis Delta, manakala dua sebagai subvarian AY4.2 yang dikesan bulan lepas.

"Sehingga kini, tiada varian Omicron COVID-19 dikesan di negara ini," katanya kepada pemberita selepas hadir Hari Graduasi MYHackathon 2020 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, MOSTI akan meneruskan kajian penjujukan genom untuk pemantauan agar tiada kemasukan varian baharu ke dalam negara.

Dr Adham berkata, Institut Genom dan Vaksin Malaysia akan melaksanakan kajian penjujukan genom terhadap individu yang didapati positif COVID-19 di pintu sempadan negara.

Sementara itu, beliau berkata, MOSTI melalui agensinya Cradle Fund Sdn Bhd memberikan geran bersyarat berjumlah RM4.5 juta kepada 18 pemenang MYHackathon 2021 yang mengemuka penyelesaian dalam penambahbaikan sistem penyampaian kerajaan secara digital.

Beliau berkata, setiap pemenang akan menerima geran sehingga RM250,000 secara berperingkat bagi membangunkan idea penyelesaian digital mereka, ke peringkat projek rintis.

Katanya, MOSTI dan Cradle Fund memastikan penerima geran dipilih secara telus berdasarkan merit masing-masing.

Beliau berkata, Cradle Fund memainkan peranan untuk memantau serta memastikan projek rintis yang dibangunkan itu dilaksanakan dalam tempoh setahun oleh semua penerima geran.

Pertandingan MyHackathon yang dianjurkan sejak Oktober 2020 itu menerima sebanyak 1,853 penyertaan daripada seluruh negara dan hanya 435 kumpulan disenarai pendek untuk diberi peluang membentangkan idea pada peringkat separuh akhir, sebelum 123 kumpulan dipilih ke peringkat akhir.

MYHackathon direka agar semua pihak dapat mengembleng usaha dalam mencari penyelesaian digital bagi masalah yang diketengahkan golongan sasar dan sebanyak 18 penyelesaian berjaya dibangunkan yang berpaksikan rakyat.

Dr Adham turut menyampaikan Anugerah Impak Sosial Terbaik kepada Ruzaimi Mohamed daripada Ozel Sdn Bhd dan Anugerah Projek Pengkomersialan Terbaik kepada Chai Kok Chin daripada NEUON AI dan mereka antara 18 pemenang pertandingan itu. – BERNAMA

Tiada ulasan: