01 Disember 2021

Terlalu awal putuskan Omicron bawa penyakit teruk - Fauci

 Pakar Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci. - Foto fail NSTP

Pakar Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci. - Foto fail NSTP

WASHINGTON: Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada varian Omicron akan membawa kepada penyakit yang teruk, namun maklumat awal dari Afrika Selatan menunjukkan varian baharu COVID-19 itu tidak menyebabkan gejala luar biasa, menurut Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Anthony Fauci.

Menurut Fauci, terdapat 226 kes Omicron yang disahkan di 20 negara setakat semalam, namun varian baru COVID-19 itu masih belum dikesan di Amerika Syarikat (AS).

Kebimbangan terhadap varian itu menjejas pasaran kewangan dan mencetuskan keprihatinan mengenai kekuatan ekonomi global untuk bangkit semula sedang dunia terus memerangi pandemik COVID-19.

"Sangat sukar untuk mengetahui sama ada varian ini akan mengakibatkan penyakit yang teruk ataupun tidak," kata Dr Fauci semasa menyampaikan taklimat kepada wartawan.

"Meskipun sesetengah maklumat awal dari Afrika Selatan membayangkan tiada gejala luar biasa ... kami belum pasti dan masih terlalu awal untuk menentukannya," katanya, lapor agensi berita CNA.

Presiden AS, Joe Biden dan pentadbirannya sudah berkali-kali menggesa warga Amerika supaya memanfaatkan vaksin dan suntikan dos penggalak, namun keraguan terhadap vaksin oleh sebilangan penduduk Amerika menghambat usaha untuk mengekang penularan lanjut virus itu.

Sekitar 69 peratus rakyat Amerika yang berusia 12 tahun dan ke atas sudah divaksin sepenuhnya.

Biden, yang popularitinya terjejas di tengah-tengah kekecewaan pandemik itu tidak dapat dikawal, Isnin lalu turut menggesa rakyat Amerika supaya jangan berasa cemas terhadap varian baru itu.

"Untuk mengatasi pandemik ini, kita juga perlu memvaksin seluruh dunia," katanya.

Apabila ditanya sama ada AS sudah mengambil langkah secukupnya untuk memberi vaksin ke seluruh dunia, Fauci yang juga Ketua Penasihat Perubatan Biden berkata, negara itu sudah berusaha lebih daripada negara-negara lain.

"Kita sedang mengambil langkah yang sangat besar," tegasnya.

Fauci berkata, memastikan vaksin sampai ke penduduk di negaraselatan Afrika serta negara berpendapatan rendah dan sederhana terbukti sukar secara logistik dan banyak dos yang dihantar akhirnya tidak digunakan.

"Negara Afrika lain... sebenarnya telah memberitahu kami untuk tidak menghantar vaksin lagi kerana mereka tidak dapat menggunakannya dengan sebaiknya," katanya lagi. - AGENSI

Tiada ulasan: