01 Disember 2021

Kanada larang kemasukan pelancong Mesir, Nigeria, Malawi

 Gambar hiasan

Gambar hiasan

MONTREAL: Kerajaan Kanada turut melarang pelancong dari Mesir, Nigeria dan Malawi kerana bimbang penyebaran varian Omicron, menjadikan 10 negara Afrika dikenakan perintah itu.

"Warga asing yang transit atau tinggal di 10 negara berkenaan tidak boleh memasuki Kanada jika mereka berada di negara tersebut dalam dua minggu lalu," kata Menteri Kesihatan Jean-Yves Duclos pada sidang media.

Langkah itu berkuat kuasa mulai hari ini, kata kerajaan.

Warga Kanada atau penduduk tetap yang pernah berada di mana-mana daripada 10 negara itu perlu dikuarantin semasa ketibaan dan mengambil ujian COVID-19.

Duclos juga berkata, dalam beberapa hari akan datang semua pengembara udara yang tiba dari luar Kanada, selain dari Amerika Syarikat (AS), kini perlu diuji untuk saringan COVID-19 di tempat kemasukan mereka, dan mengasingkan sehingga keputusan ujian mereka tersedia.

"Pandemik belum berakhir. Peraturan mengenai perjalanan boleh berubah pada bila-bila masa," kata Menteri Pengangkutan Omar Alghabra.

Kanada pada Jumaat lalu, mengharamkan kemasukan kepada semua pelancong dari tujuh negara di selatan Afrika iaitu Botswana, Swaziland, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe.

Ahad lalu, Kanada mengesahkan ia sudah mengesan kes pertama strain Omicron baharu, dalam dua orang yang mengembara ke Nigeria, baru-baru ini.

Kanada melaporkan sejumlah 1,791,902 kes COVID-19 dan 29,681 kematian. - AFP

Tiada ulasan: