01 Disember 2021

Mengaku menipu di Parlimen, Raeesah Khan letak jawatan

 Ahli Parlimen Sengkang, Raeesah Khan. - Foto Google

Ahli Parlimen Sengkang, Raeesah Khan. - Foto Google

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) semalam mengumumkan peletakan jawatan Ahli Parlimen Sengkang, Raeesah Khan dan juga jawatan dalam parti itu.

Dalam hantaran di Facebook parti itu malam tadi berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) mengadakan mesyuarat untuk 'mempertimbangkan dan membuat keputusan' susulan syor Jawatankuasa Tatatertib.

Jawatankuasa Tatatertib ditubuhkan pada 2 November lalu untuk menyiasat pengakuan Raeesah di Parlimen bahawa dia berbohong mengenai kes serangan seksual.

WP dalam hantaran sama turut memberitahu, Raessah memaklumkan pemimpin parti itu, Pritam Singh mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan daripada parti dan sebagai Ahli Parlimen.

Beliau turut hadir pada mesyuarat CEC malam tadi dan memberitahu niatnya untuk meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, WP berkata, parti itu akan mengadakan satu sidang media esok bagi memberi penjelasan lanjut, lapor agensi berita CNA.

Dalam surat peletakan jawatan kepada Speaker Parlimen, Tan Chuan-Jin yang dikongsi menerusi Facebooknya, Raeesah berkata, keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dibuat dengan berat hati.

Selain itu, beliau juga akan turut membantu Jawatankuasa Hak Istimewa yang memaklumkan pada Jumaat lalu, sudah memulakan siasatan berhubung aduan terhadap Raeesah.

Raeesah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa kerana melanggar keistimewaan Parlimen selepas pada 1 November lalu, mengaku berbohong di Parlimen mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya tidak diurus dengan baik oleh pihak polis.

Wakil rakyat itu mendakwa menemani seorang wanita membuat laporan polis tiga tahun lalu dan mangsa keluar sambil menangis kerana seorang pegawai polis didakwa memberikan komen mengenai pakaiannya dan mengatakan dia meminum minuman keras.

Pada 4 Oktober lalu dalam sidang Parlimen, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam meminta Raeesah memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu, namun dia menolak dengan alasan perlu menjaga kerahsiaan kes.

Bagaimanapun, pada 1 November lalu, beliau mengaku 'tidak hadir bersama wanita itu di balai polis sebagaimana didedahkan sebelum ini'.

"Anekdot itu dikongsi oleh mangsa yang terselamat dalam kumpulan sokongan wanita untuk wanita yang saya sertai.

"Saya tidak berkongsi bahawa saya adalah sebahagian daripada kumpulan ini kerana tidak mempunyai keberanian bagi mengaku secara terbuka bahawa saya adalah sebahagian daripada mereka," katanya.

Beliau mendedahkan diserang secara seksual ketika berumur 18 tahun ketika belajar di luar negara dan insiden itu menyebabkan pemimpin itu mengalami trauma. - AGENSI

Tiada ulasan: