04 Disember 2021

Masih ada pergerakan tanah, laluan perlu ditutup

 JKR giat melakukan kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands). - FOTO BERNAMA

JKR giat melakukan kerja pembersihan runtuhan tanah di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands). - FOTO BERNAMA

IPOH: Pergerakan tanah masih berlaku di Seksyen 27 Kilometer (KM) 39 FT 185 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands), menyebabkan laluan berkenaan perlu ditutup.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pergerakan tanah itu masih dikesan, setakat semalam, justeru tindakan susulan diambil Unit Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) pusat.

"Kita sudah menutup jalan itu walaupun laluan alternatif, iaitu Jalan Tapah-Ringlet baru dibuka semula selepas ditutup susulan tanah runtuh di situ sebelum ini.

"Diharapkan JKR sentiasa memantau pergerakan tanah di laluan itu memandangkan jabatan berkenaan mempunyai kelengkapan diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak, di sini, hari ini.

Saarani sekali gus menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada ketika melalui kawasan cerun tanpa mengira kawasan tertentu.

Media sebelum ini melaporkan insiden tanah runtuh, kelmarin, mengorbankan dua mangsa membabitkan pemandu lori sayur dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV).

Semalam, Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali, dipetik sebagai berkata tempat kejadian itu tidak berada dalam kategori kawasan berisiko tanah runtuh, berbanding tiga lokasi lain di laluan sama iaitu antara Seksyen 38 hingga 46.

Hamdan berkata, kapasiti air yang tinggi diserap tanah susulan hujan berterusan sejak dua minggu lalu menyebabkan struktur tebing menjadi lemah dan runtuh.

BHARIAN.

Tiada ulasan: