04 Disember 2021

Indonesia sasar atasi Lapangan Terbang Changi, KLIA

 Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Sumatera Utara terletak berhampiran Tasik Toba yang terkenal dan Indonesia berharap untuk meningkatkannya menjadi lapangan terbang bertaraf dunia. - Foto WIKIPEDIA

Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Sumatera Utara terletak berhampiran Tasik Toba yang terkenal dan Indonesia berharap untuk meningkatkannya menjadi lapangan terbang bertaraf dunia. - Foto WIKIPEDIA

JAKARTA: Indonesia berusaha untuk mencabar Lapangan Terbang Changi, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab serantau melalui kerjasama bernilai AS$6 bilion (RM25.39 bilion) dengan pengendali lapangan terbang India dan Perancis.

Konsortium Lapangan Terbang GMR milik Kumpulan GMR India dan Kumpulan Aeroports de Paris Perancis, minggu lalu memenangi kontrak mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Wilayah Sumatera Utara Indonesia dengan pengendali tempatan, Angkasa Pura II.

Syarikat berkenaan akan membentuk usaha sama, dikenali Angkasa Pura Aviasi dengan majoriti pegangan dimiliki Angkasa Pura II.

Angkasa Pura II dalam kenyataan media berkata, Angkasa Pura Aviasi bakal mengendalikan Kualanamu melalui 'perkongsian strategik' selama 25 tahun bernilai AS$6 bilion (RM25.39 bilion).

Syarikat baharu itu merancang mengembangkan Lapangan Terbang Kualanamu dan meningkatkan trafik penumpang tahunan daripada 10 juta pelawat ketika prapandemik COVID-19 kepada 54 juta, setanding di pintu masuk antarabangsa utama Indonesia, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di luar Jakarta, yang juga dikendalikan Angkasa Pura II.

Ia masih samar jika dibandingkan dengan 68 juta penumpang di Lapangan Terbang Changi dan 62 juta penumpang KLIA pada 2019, tetapi Indonesia berharap hubungan GMR akhirnya akan menarik sejumlah besar penumpang melakukan perjalanan antara Asia Selatan, Asia Utara dan Australia.

Timbalan Menteri Perusahaan Indonesia, Kartika Wirjoatmodjo ketika berucap di Parlimen Khamis lalu, berkata Kualanamu mempunyai kedudukan sangat strategik dan ia mempunyai kapasiti yang besar dan boleh ditingkatkan menjadi lapangan terbang bertaraf dunia.

Katanya, Kualanamu mampu menjadi pangkalan 'bagi mengurangkan penguasaan Changi dan KLIA', selain menjelaskan komitmen Lapangan Terbang GMR bernilai 56 trilion rupiah (RM16.31 bilion) untuk menyokong pengembangan itu.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tempoh bagi projek itu siap sepenuhnya. - AGENSI


Tiada ulasan: