04 Disember 2021

Sebuah lagi sekolah di Perak rekod kes jangkitan COVID-19

 Foto hiasan

Foto hiasan

IPOH: Sebuah lagi sekolah di Perak merekodkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar selepas enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar dikesan positif wabak itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata kes kedua yang membabitkan sekolah di Perak adalah di sebuah sekolah agama yang terletak di Bagan Datuk.

Bagaimanapun, Saarani tidak menyatakan berapa ramai warga sekolah itu yang dijangkiti virus berkenaan.

"Saya minta maaf kerana saya tidak bawa angka (statistik) hari ini. Memang ada berlaku jangkitan kepada pelajar sekolah terutama sekali sekolah berasrama penuh.

"Mereka yang dijangkiti itu sudah diasing atau dikuarantin di asrama berasingan sekali gus jangkitan tidak menular ke luar," katanya pada sidang media selepas berucap merasmikan pembukaan Sidang Dewan Belia Perak di Hotel Casuarina, Meru, di sini. hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed.

Beliau berkata, walaupun terdapat kes jangkitan di sekolah itu, ia tidak membawa kepada penutupan sekolah berkenaan.

"Jadi di Perak tiada sekolah ditutup setakat ini. Sekolah yang terbabit masih dibuka tetapi pelajar berkenaan dikuarantin di asrama berasingan," katanya.

Saarani berkata, pihaknya, setakat ini masih belum memperoleh angka rasmi jumlah sebenar jangkitan COVID-19 membabitkan sekolah memandangkan terdapat sekolah yang bukan berada di bawah penyelarasan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan (KPM).

"Situasi sekarang, ada dua sekolah. Satu di bawah JPN yang hanya ambil maklum berkaitan sekolah di bawah KPM dan satu lagi sekolah (MRSM Sultan Azlan Shah) adalah di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Jadi ada dua sumber berbeza yang kita kena dapatkan walaupun setakat ini saya fikir tiada masalah besar berkaitan penularan jangkitan kerana masing-masing menjalani kuarantin di asrama masing-masing," katanya.

Kelmarin, media melaporkan Exco Kesihatan Perak, Mohd Akmal Kamarudin mengesahkan enam pelajar MRSM Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar disahkan positif COVID-19 melalui Kluster Jalan Kuala Kangsar-Gerik.

Sementara difahamkan, jangkitan di sekolah agama di Bagan Datuk itu adalah daripada kluster Batu 20 Selekoh yang mana setakat semalam sebanyak dua kes baharu positif COVID-19 dicatatkan menjadikan bilangan kumulatif 12 kes.

BHARIAN.

Tiada ulasan: