04 Disember 2021

Gerun perikatan Pas-Bersatu

 

BERSATU bersama Pas merupakan pesaing pilihan raya yang lebih berbahaya untuk UMNO dalam kerusi majoriti Melayu. – UTUSAN/AFIQ RAZALI

SAUDARA PENGARANG,

HAKIKAT yang tidak dapat dinafikan ialah undi popular diperoleh Pakatan Harapan (PH) telah merosot daripada 50.8 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kepada 35 peratus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang terbaru.

Yang menariknya, kebanyakan pengundi yang menukar pendirian ini tidak beralih kepada Barisan Nasional (BN), kerana undi popular yang diperoleh BN hanya meningkat sedikit sahaja daripada 37.5 peratus pada 2018 kepada 38 peratus pada tahun ini.

Kebanyakan daripada 16 peratus pengundi yang meninggalkan PH sebaliknya mengundi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan undi popular Perikatan Nasional (PN) adalah 24 peratus, meningkat daripada 11.6 peratus yang diperoleh Pas pada 2018.

Penurunan sokongan undi untuk calon PH pada 2021 berbanding tahun 2018 paling ketara di kerusi dengan peratusan pengundi Melayu yang besar, menunjukkan bahawa pengaliran keluar undi daripada PH kebanyakannya terdiri daripada pengundi Melayu.

Apakah yang menyebabkan penghijrahan sokongan pengundi Melayu yang begitu besar daripada PH?

Secara dasarnya, oleh sebab persepsi bahawa PH terlalu dipengaruhi oleh DAP. Ia dianggap tidak boleh dipercayai untuk menjaga kesejahteraan ekonomi masyarakat Melayu.

Kenapa mereka pilih untuk mengundi Bersatu dan bukannya UMNO? Di Tanjung Bidara, calon Bersatu, seorang Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dapat mengurangkan sokongan terhadap UMNO (yang diwakili oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh) dengan agak ketara, dari 58 peratus menurun ke 49 peratus.

Dan di Sungai Udang, calon Bersatu menewaskan penyandang kerusi daripada UMNO iaitu satu-satunya kerusi BN hilang pada tahun ini selepas ia menang pada 2018.

Ini menunjukkan terdapat sejumlah besar pengundi Melayu di Melaka yang peduli tentang tahap nepotisme dan korupsi dalam UMNO serta bersedia untuk mengundi Bersatu.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah mengambil pendirian tegas terhadap ahli-ahli politik UMNO yang menghadapi pendakwaan korupsi berbanding dengan sesetengah pemimpin PH sendiri.

Penyokong tegar PH yang selama ini menggambarkan Bersatu sebagai sekumpulan oportunis yang membelot tidak akan suka pada apa yang saya katakan ini, tetapi nampaknya agak jelas, mereka yang mengundi Bersatu adalah orang Melayu yang agak kritikal terhadap tahap korupsi, elitisme dan nepotisme dalam UMNO dan mereka tidak mempunyai persepsi negatif serupa terhadap Bersatu.

Angka dari PRN Melaka mendedahkan bahawa pada masa ini, Bersatu merupakan pesaing pilihan raya yang lebih berbahaya untuk UMNO dalam kerusi majoriti Melayu berbanding PKR atau Parti Amanah Negara (Amanah) yang menarik antara 20 hingga 40 peratus pengundi Melayu.

Keadaan ini wujud di negeri di mana sekutu utama Bersatu, Pas adalah lemah. Bayangkan betapa menggerunkan perikatan Pas-Bersatu di negeri-negeri utara Semenanjung di mana Pas mempunyai sokongan akar umbi yang lebih kuat.

Dalam pada itu, keputusan untuk Kota Laksamana dan Bandar Hilir, kerusi kawasan bandar dengan majoriti bukan Melayu yang besar, menunjukkan bahawa sokongan untuk PH dalam kalangan pengundi Cina dan India masih kekal pada paras lebih kurang sama seperti 2018, iaitu kira-kira 90 peratus.

Jadi, hujah bahawa PH berprestasi teruk dalam PRN Melaka kerana kekecewaan dalam kalangan pengundi bukan Melayu tidak disokong oleh statistik pilihan raya.

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tiada ulasan: