04 Disember 2021

Tidak perlu tutup pintu sempadan, perintah sekatan kawal Omicron

 Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (dua kiri) bercakap ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur, bersama sama, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Professor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Ferdaus di Auditorium Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto AZIAH AZMEE

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (dua kiri) bercakap ketika Forum Persada Kampus Kuala Lumpur, bersama sama, Pro Naib Canselor UKM (Kampus Kuala Lumpur), Professor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid dan Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Ferdaus di Auditorium Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto AZIAH AZMEE

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan bagi negara menutup pintu sempadan antarabangsa termasuk menguatkuasakan perintah sekatan buat masa ini berikutan sistem kawalan kesihatan awam diyakini boleh mengawal penularan varian baharu, Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini kerana belum ada kepastian sama ada varian Omicron yang pertama dikesan di Afrika Selatan ini mempunyai kadar keparahan yang tinggi.

Mengulas lanjut, katanya, tempoh masa sekurang-kurangnya dua minggu diperlukan untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai 'kekuatan' varian terbabit dan jika kadar keparahannya dikesan rendah ia adalah satu petanda baik.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak tidak perlu panik atau bertindak keterlaluan terhadap kemunculan varian berkenaan berikutan Kementerian Kesihatan (KKM) masih memantau dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan maklumat terkini.

"Walaupun kita tahu ada varian baharu, janganlah kita panik atau bertindak keterlaluan (over react) untuk pelaksanaan perintah sekatan sebab kita tidak pasti lagi, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak suruh kita buat perintah sekatan.

"Tak payah tutup sempadan sebab sistem kawalan kita sudah ada dan ia boleh dipertingkatkan termasuk membuat ujian secara lebih kerap iaitu pada hari ketiga dan ketujuh membabitkan pengembara yang datang ke negara kita kerana melalui kekerapan ujian ia boleh mengesan (virus)...sistem itu yang kita perlukan.

"Persoalannya adakah disebabkan liputan vaksinasi yang rendah di Afrika melonjakkan kes dengan mendadak ataupun Omicron memang merebak dengan cepat seperti Delta.

"Sehingga kini kita tidak nampak lagi kadar keparahan Omicron dan memerlukan data terkini untuk kita menjangkakannya...kalau ia merebak dengan cepat namun kemasukan ke hospital berkurangan ia adalah petanda baik.

"Mungkin ia berakhir dengan kes keparahan yang kurang dan jadi macam virus selesema," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menjadi panel dalam Forum Menjangkau Masyarakat Melalui Program Pemberian Vaksin yang dirasmikan secara maya oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Ser Dr Noraini Ahmad.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata, sistem kesihatan awam termasuk saringan di lapangan terbang dilaksanakan di negara ini terbukti berjaya mengelakkan penularan Omicron daripada kes indeks pertama membabitkan penuntut dari Afrika Selatan pada 19 November lalu.

Meskipun ketika itu WHO belum mengisytiharkan Omicron sebagai varian membimbangkan, beliau berkata, sistem kesihatan awam negara dapat mengesan dan mengawalnya daripada menular dalam komuniti.

"Ramai yang tidak faham kata kenapa kita tidak sekat...sebab ketika tarikh 19 November itu belum ada pengisytiharaan bahaya (Omicron) malah belum ada pelaksanaan mengetatkan kawalan terhadap Afrika Selatan...hanya pada 26 November WHO isytiharkan VOC.

"Kita kaji semula sampel positif ketika saringan di lapangan terbang pada 19 November itu dan sistem kita dapat kesan dan kawal dengan membuat pengesanan pergerakan kes indeks dalam tempoh kurang empat jam.

"Walaupun kita tidak tahu (ketika itu) kes terbabit adalah Omicron sebab kajian yang dijalankan adalah kajian kebelakangan, ia bermakna sampel yang diperiksa dapat tingkatkan kawalan sempadan," katanya.

Sehingga kini, semua lapan sampel termasuk kontak rapat bagi kes pertama VOC Omicron di negara ini dilaporkan negatif COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kemungkinan terhadap situasi berkenaan iaitu sama ada kebolehjangkitan varian terbabit semakin berkurang selepas nilai ambang penghujung jangkitan pada 26 November atau disebabkan pelajar itu sudah divaksin menyebabkan ia tidak menjangkiti individu lain.

Sementara itu, menerusi forum berkenaan, beliau berkata, amalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka dan pengambilan dos penggalak adalah penting bagi mengelakka negara menerima padah lonjakan kes COVID-19 seperti mana berlaku di Eropah dan United Kingdom.

"Jika kita lihat di negara Barat, selepas menerima vaksin dilonggarkan kepatuhan SOP menyebabkan kes melonjak semula.

"Dalam tempoh dua hingga tiga bulan, apa yang berlaku di Eropah dan United Kingdom boleh berlaku di negara kita jadi pencegahan untuk kawal COVID-19 iaitu pematuhan SOP dan pengambilan dos penggalak perlu diteruskan," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: