KOTA BHARU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh dianggap sebagai satu indikator jelas terhadap pengaruh Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali meningkat sekarang.
Pensyarah kanan UiTM Raub Dr Che Hamdan Mohd Razali berkata, PRN Melaka baru-baru ini tidak mampu untuk memberi petunjuk yang agak selesa dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang begitu kecil.
Katanya, jumlah keluar mengundi PRN Melaka hanya 65.85 peratus atau 326,068 daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar.
“Sedangkan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya umum (PRU) lepas 84.7 peratus. Malah pada peringkat awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus.
“Biarpun BN menang di 21 daripada 28 kerusi Dun, namun Umno masih belum mampu untuk berada dalam zon selesa,” katanya ketika dihubungi di sini.
Pada November lepas Timbalan Presiden Umno Dato’ Seri Mohamad Hasan dilapor mencadangkan supaya PRU-15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi peluang membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat.
Manakala ahli parlimen Padang Rengas Dato’ Seri Nazri Abdul Aziz pula menyifatkan PRU tidak perlu diadakan lebih awal mengambil kira sokongan terhadap perdana menteri masih stabil.
Malah sebuah portal berita mendakwa mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada 8 Disember lalu gagal mendapat sokongan bagi mendesak PRU ke-15 diadakan lebih awal.
Dr Che Hamdan juga berkata, desakan supaya diadakan pilihan raya segera akan memberi kuasa kepada presiden Umno menentukan calon dan pada masa yang sama dapat menguatkan kembali pengaruhnya. – HARAKAHDAILY 16/12/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan