16 Disember 2021

1,485 petugas bantuan PRN Sarawak

 KEMERIAHAN perang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat di sekitar bandar Sri Aman ketika tinjauan sempena PRN Sarawak ke-12. FOTO Aizuddin Saad

KEMERIAHAN perang bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilihat di sekitar bandar Sri Aman ketika tinjauan sempena PRN Sarawak ke-12. FOTO Aizuddin Saad

Kuching: Seramai 1,485 petugas bantuan terdiri daripada pegawai dan anggota polis ditempatkan di 11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, Sabtu ini.

Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Sarawak Senior Asisten Komisioner Gilberd Philip Layang berkata, daripada jumlah itu, 827 adalah anggota dari Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak.

"Terdapat juga petugas bantuan dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching iaitu 270 anggota, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak (230) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 (116).

"Selain itu, 22 anggota dari IPK Sabah yang ditempatkan di IPD Lawas, manakala selebihnya adalah bantuan dari daerah-daerah kontinjen Sarawak," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan pelepasan petugas bantuan ke 11 IPD membabitkan Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Betong, Saratok, Mukah, Meradong dan Serian di IPK Sarawak, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Gilberd mengingatkan pegawai dan anggota bertugas supaya menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan melaksanakan tugas dengan baik.

"Sebagai anggota penguatkuasa, kita perlu menunjukkan tingkah laku yang baik dan menjaga displin semasa bertugas menjaga keselamatan awam.

"Adalah penting untuk kita menjaga imej polis dengan dalam melakukan penugasan dengan memastikan kelancaran proses demokrasi nanti (hari penggundian) berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata, pegawai dan anggota bertugas berdepan lebih kesukaran semasa menjalankan penugasan nanti akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum ini, tugas utama kita adalah untuk menjaga keselamatan awam dengan memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Namun kini, kita juga perlu memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) selain SOP ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Justeru itu, saya mengingatkan kepada semua (pegawai dan anggota polis bertugas) supaya turut sama menjaga kesihatan diri bagi memastikan kita dalam keadaan baik sebelum dan selepas menjalankan tugas," katanya.

HMETRO.

Tiada ulasan: