JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia meletus dua kali hari ini, menyemburkan abu besar ke langit diikuti aliran lahar yang menyebabkan ratusan penyelamat melarikan diri dalam keadaan panik.
Gunung tertinggi di pulau Jawa itu meletus awal bulan ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang dan menyebabkan lebih 20 yang lain hilang.
Pasukan penyelamat sedang menggali lumpur dan serpihan gunung berapi apabila abu - yang mencecah 4.5 kilometer (km) dari puncak - dan aliran lahar dari letusan berkembar terbaru memaksa mereka menangguhkan misi itu.
"Adalah terlalu berbahaya untuk penyelamat meneruskan," kata penyelamat Saiful Hasan kepada AFP, menjelaskan hujan telah mempercepatkan aliran lahar ke kampung.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan setakat ini, kerana penyelamat berkata penduduk kampung telah dipindahkan lebih awal.
Namun, keruntuhan kubah lahar selepas letusan awal mungkin bermakna Semeru akan memuntahkan bahan gunung berapi dengan lebih kerap, kata Saiful.
"Apatah lagi kita sekarang dalam musim hujan yang boleh mencetuskan tumpahan dari kawah," tambahnya.
Hari ini sepatutnya adalah hari pencarian terakhir, tetapi operasi mungkin dilanjutkan lagi.
Bencana 4 Disember menyebabkan seluruh jalan dipenuhi lumpur dan abu, menenggelamkan rumah dan kenderaan, dengan hampir 10,000 orang mencari perlindungan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan