16 Disember 2021

Dewan Rakyat lulus RUU berkaitan kesan Covid-19

 

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 yang antara lain untuk mewujudkan lebih ruang dan peluang kepada proses pemulihan semula individu dan syarikat yang terkesan dalam tempoh pandemik.


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata kementerian sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bagi melanjutkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dijadualkan tamat pada 31 Dis ini.

“Pada masa ini pengecualian duti setem bagi surat cara pindah hak milik dan perjanjian pinjaman bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah bagi pembeli rumah pertama masih dikuat kuasa sehingga 31 Dis 2025.

“Kerajaan menyambut baik cadangan mengenai pelanjutan tempoh moratorium supaya dilaksanakan serentak dengan tempoh Akta 829 (Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020) berkuat kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Turut menggulung perbahasan rang undang-undang itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua, Mas Ermieyati berkata pindaan Akta 829 tersebut merangkumi pindaan yang diperuntukkan dalam 10 Fasal keseluruhannya yang cadangan pindaan itu diperoleh daripada kementerian atau jabatan seperti Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Kewangan.

Antara tujuan pindaan di bawah JPM adalah untuk membantu lebih ramai rakyat yang terkesan dan gagal memenuhi obligasi kontraktual mereka dan pada masa yang sama memperluaskan lagi ruang lingkup pelaksanaan pengantaraan di bawah Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) kepada pihak yang mempunyai pertikaian kontraktual.

Secara umumnya, beliau berkata sebahagian besar daripada pindaan yang dikemukakan melalui rang undang-undang itu merupakan cadangan oleh sektor industri dan perniagaan seperti pemaju perumahan, kesatuan sekerja serta individu-individu yang terkesan dari aspek ekonomi seperti pembeli rumah.

“Selain itu, perluasan skop khidmat pengantaraan yang dicadangkan merupakan inisiatif untuk memberi lebih peluang kepada pihak-pihak yang bertikai mendapatkan khidmat pengantaraan.

“Dalam erti kata lain, rang undang-undang ini adalah menyokong dan pelengkap kepada semua insentif serta komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat yang amat memerlukan,” katanya. – BERNAMA

Tiada ulasan: