Singapura: Pengalaman 'berguru' dan memberikan khidmat sokongan sains sukan kepada beberapa kelab dan pemain ternama di Liga Perdana Inggeris sejak 2014 sehingga 2019 termasuk Liverpool dianggap cukup berharga buat pakar fisiologi dari Malaysia, Mohd Firdaus Maasar.
Malah, penghijrahannya ke akademi bola sepak terbaik dunia Akademi Aspire di Qatar turut melengkapkan kepakarannya dalam bidang Sains Sukan itu terutamanya dari aspek sokongan dan peningkatan prestasi seseorang pemain.
Justeru, tidak hairan mengapa sentuhannya diburu banyak kelab dan akhirnya anak tempatan kelahiran Kuala Pilah itu memilih untuk menyertai kelab Singapura, Lion City Sailors FC pada musim ini.
Walaupun baharu bersama kelab itu, namun sentuhannya berjaya membantu Lion City Sailors memecah dominasi kelab luar yang memenanginya sejak enam musim lalu apabila pasukannya muncul juara Liga Singapura musim ini.
Katanya, sebab utama mengapa dirinya memilih untuk bersama Lion City Sailors adalah kerana pelan jangka panjang pasukan yang menyasarkan untuk muncul antara kelab terbaik di rantau ini selain sasaran peribadi yang mahu melahirkan lebih ramai pemain terbaik dari rantau ini.
"Perancangan kelab (Lion City Sailors) amat baik dan tidak lama lagi kelab akan memiliki pusat latihan berkelas antarabangsa dengan fasiliti yang terbaik.
"Saya amat yakin rantau kita (Asia Tenggara) mempunyai ramai bakat yang boleh digilap menerusi kaedah yang tepat dengan menerapkan amalan Sains Sukan kepada semua pemain.
"Ini yang sedang kita lakukan di Lion City Sailors dan saya percaya kami akan muncul kelab terbaik di rantau ini tidak lama lagi. Malah, mulai musim depan kami akan beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang bakal beri pendedahan berguna kepada kelab," katanya ketika ditemui Arena Metro di sini.
Sebelum ini, kisah Firdaus Maasar hangat diperkatakan di Malaysia selepas wajahnya tertera dalam laman web rasmi The Reds di United Kingdom, di mana dia kelihatan sedang memberi khidmat sokongan Sains Sukan kepada pemain.
Antaranya termasuk Sadio Mane, Mohamed Salah, Virgil van Dijk dan beberapa lagi pemain di bawah bimbingan Jurgen Klopp di padang latihan kelab di Melwood.
Ditanya adakah dia bersedia untuk berkongsi kepakaran bersama kelab di Malaysia selepas ini, penuntut Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan di Universiti John Moores Liverpool itu mengakui sedia mencurah bakti namun buat masa ini, dia gembira untuk berkhidmat di luar negara bagi menambahkan lagi pengalamannya.
"Malaysia sebenarnya ada banyak pemain berbakat. Sistem pembangunan amat penting ditambah dengan pengenalan dan penerapan Sains Sukan seawal remaja, tak mustahil kita boleh lahirkan pemain yang memenuhi standard antarabangsa," katanya.
HMETRO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan