KUALA KRAI: Paras air Sungai Kelantan di Kuala Krai kini melebihi paras amaran dengan bacaan 22.5 meter setakat jam 8.15 pagi, hari ini susulan taburan hujan yang tinggi sejak petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin, berkata setakat ini terdapat dua kampung sudah dinaiki air iaitu Kampung Petaling dan Kampung Ngangoh, namun masih belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Beliau berkata, sekiranya taburan hujan lebat berterusan sehingga petang ini, PPS kemungkinan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir. Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah bersiap sedia.
"Penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan tebing sungai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada kerana Monsun Timur Laut masih belum tamat dan cuaca boleh berubah pada bila-bila sahaja selain paras air sungai juga menunjukkan trend menaik.
"Trend paras air boleh berubah bila-bila masa sahaja kerana ia bergantung kepada cuaca, justeru penduduk yang tinggal berdekatan dengan pinggir sungai dinasihatkan mengemas dan menyimpan dokumen penting ke tempat tinggi kerana khuatir paras air sungai terus meningkat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS menerusi kenyataannya, semalam mengeluarkan amaran banjir akan berlaku di beberapa lokasi di jajahan Kuala Krai dan Jeli bermula hari ini sekiranya hujan lebat berpanjangan turun di lembangan Sungai Kelantan.
Katanya, pemantauan secara berkala dilakukan kerana paras air kadang-kadang tidak boleh dijangka dan boleh turun serta naik bila-bila masa sahaja dalam kadar masa yang cepat.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan