17 Disember 2021

Kedah perkenalkan 'K-League'

 SANUSI mengakui pihak KFA turut menerima sokongan dari beberapa syarikat korporat yang bersetuju untuk melakukan penajaan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

SANUSI mengakui pihak KFA turut menerima sokongan dari beberapa syarikat korporat yang bersetuju untuk melakukan penajaan. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Alor Setar : Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bakal memperkenalkan sebuah liga tempatan di Kedah yang dinamakan 'K-League' bagi merancakkan kembali industri sukan yang suram di Kedah sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020.

Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah berkata, bagi keluar dari suasana suram dalam bidang sukan sejak dua tahun lalu, persetujuan untuk mengadakan liga berkenaan dicapai oleh Ahli-ahli gabungan KFA dalam Kongres KFA yang berlangsung di Wisma Darul Aman semalam.

"Liga K-League ini akan memeriahkan kembali kerancakan sukan khususnya bola sepak di Kedah di mana kita akan ada beberapa kejohanan yang dicadangkan sekurang-kurangnya enam piala untuk dipertandingkan pada tahun depan.

"Acara utama yang akan dipertandingkan adalah Piala KDYMM Tuanku Sultan Kedah, diikuti Piala Menteri Besar Kedah, Piala KFA, Kedah Grassroot League bawah 12 tahun, Liga Futsal Kedah dan juga Langkawi International Beach Soccer.

"Enam kejohanan yang dicadangkan ini akan menyemarakkan sukan bola sepak di Kedah selepas suram selama dua tahun akibat dari pandemik Covid-19." katanya.

Jelas Sanusi lagi, pihak KFA turut menerima sokongan dari beberapa syarikat korporat yang bersetuju untuk melakukan penajaan bagi menjayakan liga yang sedang dirancang ini.

"Saya berjumpa dengan beberapa penaja dan Alhamdulillah beberapa syarikat besar yang bersetuju untuk menaja liga tempatan yang akan kita muktamadkan beberapa hari lagi penganjurannya oleh KFA." katanya selepas mempengerusikan Kongress kali ke-46 KFA di Wisma Darul Aman semalam.

"Dengan perancangan liga tempatan yang dicadang dan bakal diaturkan ini akan memberi suasana baharu di kalangan warga Kedah untuk mengembangkan bakat mereka dalam acara yang akan dipertandingkan nanti.

Penganjuran Liga Tempatan pada tahun 2022 menjadi antara agenda utama yang dibincangkan KFA dalam Kongres KFA kali ke-46 semalam.

KFA yang melalui proses pemisahan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kini memberi fokus sepenuhnya kepada aspek pembangunan bola sepak di peringkat negeri Kedah.

HMETRO.

Tiada ulasan: