LIVERPOOL: Liverpool meneruskan pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Newcastle United 3-1 yang dihangatkan dengan gol menarik Trent Alexander-Arnold.
The Reds turun tanpa Virgil van Dijk dan Fabinho yang positif COVID-19, dan dikejutkan dengan jaringan Jonjo Shelvey hanya selepas tujuh minit permainan bermula.
Bagaimanapun jaringan bekas pemain Liverpool itu diimbangi oleh Diogo Jota dan Mohamed Salah meletakkan pasukannya di depan sebelum rehat.
Rembatan padu Alexander-Arnold empat minit sebelum tamat permainan melengkapkan kemenangan kelapan berturut-turut anak buah Jurgen Klopp yang kini hanya satu mata di belakang pendahulu Manchester City.
"Jaringan yang menakjubkan! Pemain ini berada di peringkat lain dalam teknik jaringan," kata Klopp berkenaan gol dijaringkan Alexander-Arnold.
Sebelum sepak mula Klopp menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat palsu berkaitan vaksinasi dan segera mendapatkan suntikan berkenaan.
Curtis Jones juga tidak menyertai skuad The Reds kali ini akibat positf COVID-19. Klopp mengesahkan skuadnya sudah divaksin sepenuhnya dan tiada pemain lain dijangkiti.
Ketika jumlah kes COVID-19 kembali melonjak di England, timbul kerisauan yang liga mungkin terpaksa dihentikan sekali lagi selepas 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris ditunda setakat ini. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan