17 Disember 2021

Hulu Kelantan mula banjir

 

JAMBATAN Sungai Cindai di Bandar Lama Gua Musang ditenggelami air ekoran kenaikan paras sungai utama di Kelantan sejak awal pagi ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG: Hujan lebat sejak semalam menyebabkan paras air beberapa sungai utama di Kelantan naik ke paras bahaya dengan kebanyakan kawasan rendah di hulu negeri ini sudah mula dinaiki air.

Setakat tengah hari ini, lima kampung di daerah ini dilanda banjir ekoran limpahan air Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri sejak awal pagi tadi.

Berikutan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Felda Chiku 7, dekat sini mulai pukul 8.55 pagi ini bagi menempatkan seramai 102 mangsa banjir daripada 16 keluarga.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebanyak enam jalan perhubungan penting turut ditenggelami limpahan air sungai.

Kata beliau ia melibatkan jalan masuk ke Kampung Kerinting, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Chalil, Felda Paloh 2, Felda Chiku 7 serta Jambatan Sungai Cindai.

“Kita menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri bersiap sedia berpindah kerana hujan masih turun dan paras air sungai utama sedang meningkat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my merekodkan paras air Sungai Golok di Tanah Merah kini mencecah 23.76 meter, melepasi paras bahaya 23.50 meter.

Dua lagi sungai utama pula direkodkan sudah melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang yang kini mencecah 71.76 meter serta Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.50 meter. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: