PUTRAJAYA: Ia satu kenyataan yang amat berat dan boleh menjejaskan akidah serta meletakkan diri ke lembah syirik jika diungkapkan dengan sengaja.
Itu tegas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung kenyataan dikeluarkan seorang pengasas produk makanan terkenal yang mengaitkan tuhan sebagai makhluk halus, baru-baru ini.
Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, sekiranya individu itu menyebut kenyataan itu dengan niat untuk menyamakan Allah S.W.T dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat.
Menurutnya, Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim.
“Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. Jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, ruh, malaikat, jin dan seumpamanya.
“Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pencipta yang menciptakan segala yang ada di alam ini manakala semua selain Allah adalah makhluk yang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai ‘makhluk halus’,” katanya menerusi saluran media sosialnya, Maktabah al-Bakri hari ini.
Katanya, beliau menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian agama atau kesucian Allah SWT supaya lebih berhati-hati dengan setiap patah kata yang disampaikan.
Zulkifli berkata, sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.
“Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata. Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan.
“Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai seorang pengasas produk makanan terkenal individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus.
Bagaimanapun, individu berkenaan sudah memohon maaf di atas keterlanjurannya itu selepas menerima banyak kecaman dan kritikan.- UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan