17 Disember 2021

Abang korban nyawa selamatkan adik jatuh sungai

 Anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat Muhammad Danish Danial yang lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam Sungai Seluang, Marang. FOTO NSTP/ZAID SALIM

Anggota bomba dan penyelamat membawa naik mayat Muhammad Danish Danial yang lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam Sungai Seluang, Marang. FOTO NSTP/ZAID SALIM

MARANG: Tindakan seorang remaja lelaki cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam sungai berakhir tragedi apabila dia lemas di Sungai Seluang, Paya Resak di sini, hari ini.

Sebelum kejadian, mangsa Muhammad Danish Daniel Adnan, 13, bersama adiknya Muhammad Danish Irfan, 7, serta kakaknya, Fatimah, 17, memancing di sungai berhampiran rumah mereka pada jam 4.15 petang.

Ibu mangsa, Suhaini Wahab, 36, berkata, ketika memancing, Muhammad Danish Irfan dikatakan tergelincir ketika bermain di tebing sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Katanya, Muhammad Danish Daniel kemudian terjun ke sungai untuk menyelamatkan adiknya namun gagal sebelum 'hilang' dari permukaan air.

"Panik dengan kejadian itu, kakak mangsa, Fatimah, 17, yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu segera pulang memberitahu kejadian itu kepada kami.

"Datuknya, Wahab Yusof, 63, segera ke lokasi kejadian sebelum terjun menyelamatkan Muhammad Danish Irfan yang terkapai-kapai dihanyutkan arus.

"Muhammad Danish Danial pula gagal dikesan selepas kelibatnya hilang di permukaan air," katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Suhaini berkata, Muhammad Danish Danial, anak keempat daripada enam beradik itu sudah biasa memancing di kawasan berkenaan kerana sungai itu terletak berhampiran rumah.

"Dia sudah biasa memancing di kawasan berkenaan dengan kakaknya, namun hari ini tidak sangka pula kejadian buruk menimpa dirinya," katanya.

Beliau berkata, jenazah anaknya yang juga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, dikebumikan sebaik bedah siasat selesai, malam ini.

Sementara itu Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Zulikifli Md Akhir berkata, pihaknya ke lokasi kejadian bagi melakukan Operasi Mencari dan Menyelamatkan (SAR) sebaik menerima panggilan kecemasan daripada keluarga mangsa.

"Mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai kira-kira dua meter dari lokasi kejadian," katanya.

Tiada ulasan: