17 Disember 2021

Varian Omicron membiak 70 kali lebih cepat dalam salur bronkus

 Foto hiasan

Foto hiasan

Hong Kong: Varian Omicron membiak 70 kali lebih cepat dalam salur bronkus manusia daripada varian asal Covid-19 dan Delta.

Kajian makmal dilakukan pasukan penyelidik dari Universiti Hong Kong ke atas tisu bronkus itu juga mendapati, varian baharu itu membiak 10 kali lebih perlahan dalam tisu paru-paru yang menunjukkan risiko penyakit teruk menjadi rendah.

Ketua kajian itu, Michael Chan Chi-wai berkata, keputusan itu perlu ditafsirkan dengan lebih berhati-hati kerana penyakit teruk ditentukan bukan sahaja dengan seberapa cepat virus itu membiak.

Namun katanya, ia juga bergantung kepada tindak balas imun badan individu itu.

"Ia juga diperhatikan dengan menjangkiti lebih ramai orang, virus yang sangat berjangkit boleh menyebabkan penyakit dan kematian yang lebih teruk walaupun virus itu sendiri mungkin kurang patogenik.

"Justeru, melihat kajian terbaru kami yang menunjukkan varian Omicron sebahagiannya boleh lolos daripada imuniti vaksin dan mereka yang pernah dijangkiti, ancaman keseluruhan daripada varian Omicron mungkin sangat ketara," katanya dalam portal The Guardian.

Data awal kajian yang diterbitkan dalam talian itu belum disemak semula.

Ia diperoleh hasil eksperimen menggunakan sampel tisu paru-paru yang diambil daripada pesakit ketika pembedahan.

Dalam tempoh 24 jam, varian Omicron dilihat membiak kira-kira 70 kali lebih banyak daripada Delta dan varian asal Covid-19.

Walaupun bronkus bukan sistem pernafasan atas, menurut saintis, ia boleh menyebabkan virus membiak banyak dan lebih mudah menyebarkan jangkitan.

Penemuan itu bersama kajian terbaharu lain jelas menunjukkan Omicron menjangkiti sel dengan lebih mudah, menambah kepada gambaran bahawa varian itu mungkin secara semula jadi lebih mudah ditularkan selain mengelak imuniti sedia ada.

HMETRO.

Tiada ulasan: