17 Disember 2021

Bangunan terbakar di Jepun, 27 dikhuatiri maut

 Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus di lokasi kebakaran. - FOTO AFP

Anggota bomba dan penyelamat bertungkus lumus di lokasi kebakaran. - FOTO AFP

TOKYO: Seramai 27 mangsa dikhuatiri maut selepas kebakaran tercetus di tingkat empat sebuah bangunan di kawasan komersial di bandar Osaka, hari ini, menurut jabatan bomba dan penyelamat.

Rakaman video disiarkan televisyen menunjukkan puluhan anggota bomba serta penyelamat bertungkus lumus di lokasi insiden membabitkan bangunan setinggi lapan tingkat terletak di kawasan perniagaan yang sibuk berhampiran stesen kereta api Kitashinchi.

Malah daripada pandangan melalui tingkap yang pecah, bahagian dalam di tingkat empat bangunan itu jelas kelihatan hangus.

Media tempatan melaporkan, tingkat terbabit menempatkan sebuah klinik yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan penjagaan perubatan am.

Seorang jurucakap polis Osaka memaklumkan kepada AFP, punca kejadian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan laporan NHK yang memetik sumber polis sebagai berkata 'ada kemungkinan berlaku serangan pembakaran dengan sengaja, berdasarkan keadaan di tempat kejadian.'

Seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Osaka memberitahu AFP, seramai 27 daripada 28 mangsa yang cedera dalam kebakaran itu, didapati tiada menunjukkan sebarang tanda masih bernyawa.

Di Jepun, hanya doktor boleh mengesahkan seseorang itu meninggal dunia.

Kesemua mangsa terbabit dilaporkan sudah dibawa ke hospital.

"Kebakaran dikesan pada jam 10.18 pagi di tingkat empat. Setakat tengah hari, sebanyak 70 jentera bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian," katanya.

Pegawai itu turut memaklumkan, api berjaya dipadamkan selepas setengah jam. - AFP

Tiada ulasan: