12 Disember 2021

Tujuh dekad PAS dan pondok saling melengkapi

 

Photo use for illustration purposes only

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

PERGESERAN kaum salaf dan khalaf semakin menjolok mata di negara ini di saat ummat secara umumnya masih terperuk dengan kejahilan, bahkan tidak melunaskan solat yang wajib sekali pun.

Malah sangat menjengkelkan apabila polemik khilafiah ini turut mengheret anak-anak muda yang cerdas, saling menghambur caci nista diruang maya.

Saya turut menjadi gelisah dengan usaha merobek kekuatan PAS oleh santri bahkan asatizah dengan alasan PAS tidak menentukan sikap dalam isu akidah, PAS hanya pentingkan kuasa dan tembolok!

Perseteruan dengan PAS ini turut memunculkan idea untuk memancing umat supaya sebuah parti Islam berteraskan pendokong assyairah ditubuhkan di tanah air ini.

Jika di Mesir pasca revolusi Januari 2011, munculnya Parti an-Nur oleh kelompok salafi yang turut menyumbang kepada perpecahan undi umat Islam.

Kelompok an-Nur ini juga akhirnya tidak bersama dengan Dr Mohamad Mursi alhafiz dalam mengisi kemenangan dibumi Mesir. Ambillah pengajaran daripada Indonesia, bagaimana puluhan parpol bernuansa Islam telah menyebabkan perpecahan tragis umat Islam dalam setiap kali PEMILU.

PAS sangat istimewa kepada dua kelompok, salaf (dibaca wahabi) dan khalaf lantaran perbedaan keduanya diredam apabila berada di dalam jemaah Islam PAS.

PAS dianggotai oleh ramai agamawan sehingga digelar “parti lebai”, kawasan pondok dan madrasah secara umumnya dikenali sebagai kubu PAS.

Pimpinan PAS seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Prof Zulkifli Mohamad dan lain-lain tokoh begitu cermat dan harmoni dalam mengelakkan pergeseran. Fokus utama harakatul ummah ialah untuk menegakkan pemerintahan Islam, merengkuh sokongan pelbagai pihak serta mengelakkan perpecahan ummat.

Dalam denai sejarah perjuangan PAS selama tujuh dasawarsa ini , kawasan yang subur dengan tradisi pondok ini pula terbukti menjadi kawasan yang kuat menerima pengaruh PAS.

Secara tidak langsung negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu menjadi pertapakan kepada PAS dalam meluaskan sokongan massa. Impaknya, institusi pendidikan Islam ini telah dimusuhi oleh regim penguasa selama puluhan tahun, dinafikan hak serta kemudahan namun pondok terus subur merendangi ummat bahkan sebelum mencapai kemerdekaan tanah air, pondoklah yang menjadi benteng akidah ummat.

Pimpinan PAS terus memanfaatkan ruang untuk mendekati guru-guru pondok kerana kedudukan guru pondok yang dihormati dalam hirarki masyarakat Melayu.

Menguasai guru pondok bermakna PAS akan terus relevan kepada masyarakat, ini adalah kerana justifikasi sosial seseorang guru agama dengan kebenaran.

Di Kelantan pada zaman awal penubuhan PAS usaha-usaha terus dibuat untuk mendapatkan dokongan guru-guru pondok, Antara tokoh PAS yang berusaha mendekati penggiat pondok ialah almarhum Ustaz Amaluddin Darus.

Kelantan sangat jelas, tebal semangat menjaga keaslian perjuangan Islam. Tuan Guru pondok sangat akrab dengan PAS. Dalam jajahan Bachok pula ialah Tuan Guru Haji Muhammad, Tuan Guru Haji Awang Padang, Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Osman dan beberapa orang lagi tokoh ilmuan Islam.

Manakala di sebelah Tumpat, Tuan Guru Haji Sulaiman bin Haji Omar, Tuan Guru Haji Yaakob Kelong, Tuan Guru Haji Daud Geting dan lain-lain lagi. Manakala di Jajahan Machang ialah Tuan Guru Haji Razali Ismail di Pulai Chondong dan Tuan Guru Wan Yusuf bin Che Tengah.

Di Kuala Krai ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Sulaiman. Di Tanah Merah ialah Tuan Guru Haji Nik Daud Bukit Remah. Di Pasir Puteh, Tuan Guru Haji Muhammad di Selising, Tuan Guru Haji Abdul Muttalib Bukit Abal, Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dan lain-lain lagi.

Kejayaan PAS adalah kerana cita-cita politik Islamnya diterima oleh rakyat Kelantan, Kedah dan Terengganu kerana rakyat kedua-dua negeri ini memandang tinggi tok guru dan guru-guru agama yang menjadi calon-calon parti itu.

Pengaruh tok-tok guru ini cukup kuat pada masa itu, iaitu apabila guru-guru pondok ini memberi sokongan kepada PAS, juga rakyat juga mudah terpengaruh dan mencontohinya seperti yang berlaku kepada Tuan Guru Haji Abdullah Tahir di Pondok Bunut Payong, Kelantan. Begitu juga dengan kemenangan Tuan Guru Haji Ahmad Hussien pada tahun 1955.

Pondok telah menjadi sebahagian institusi yang penting dalam Pendidikan Islam di alam Melayu ini termasuk di Indonesia, Thailand, Malaysia. Pondok dan PAS telah begitu sinonim dan dikenal pasti semenjak dekad 1950-an lagi, guru-guru dan pelajar pondok telah mendokong PAS.

Pandangan bahawa pondok dan tuan guru pondok telah memberikan lonjakan besar terhadap pengaruh PAS turut dipersetujui oleh tokoh veteran PAS Kelantan, Salahuddin Abdullah (2010):

“Boleh dikatakan majoriti tokoh-tokoh agama di Kelantan menyokong penuh perjuangan PAS. Mereka terdiri daripada para tuan-tuan guru yang memimpin pondok-pondok pengajian agama di seluruh negeri Kelantan dan menggunakan pengaruh mereka untuk kepentingan PAS.

“Antara mereka ialah Tuan Guru Haji Abdul Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas. Tokoh ini telah memberi sokongan padu kepada PAS dan menyebarkan konsep perjuangan PAS kepada rakan-rakan sejawatnya, tuan-tuan guru yang lain di Pasir Mas.

“Di Kota Bharu, Tuan Guru Haji Abdullah Tahir, Bunut Payong begitu amat menonjol menyokong PAS meskipun sudah agak berusia. Beliau sering diwakili oleh menantunya, Tuan Guru Haji Husin Rahimi.

“Di Kubang Kerian, Tuan Guru Haji Ahmad Kenali, Tuan Guru Abdul Aziz, Tuan Guru Haji Mustafa Abu Bakar di Pondok Terusan Limbat, Tuan Guru Haji Hasan Ketereh, Tuan Guru Haji Ismail Perol, Tuan Guru Haji Yusuf Padang Kala dan semua tok-tok guru institusi pondok di Kota Bharu ini menjadi penyokong PAS.”

Pendidikan Islam termasuk pendidikan pondok mula mendapat nafas baru apabila berlakunya kebangkitan Islam yang bersifat fenomena di seluruh dunia.

Serentak dengan kesedaran untuk mengembalikan kesedaran dan kemuliaan Islam, seruan supaya Pendidikan Islam dimartabatkan kembali berlaku serentak dengan permintaan tinggi peserta-peserta kebangkitan Islam untuk mendapatkan ilmu-ilmu Islam.

Sekolah-sekolah pondok di negara ini mula bertenaga kembali, bahkan mula menawarkan kemahiran teknikal yang lain seperti asas perniagaan.

Di Kelantan, dengan kemenangan PAS pada tahun 1990, menyaksikan sekolah-sekolah pondok yang sedia ada mengalami penyuburan dan ransangan daripada kerajaan negeri.

Antaranya dengan penubuhan Pusat Pembangunan Pondok, bantuan ‘one-off’, penubuhan pondok moden di Kandis, Bachok.

Kelantan selepas tahun 1990 menyaksikan juga penubuhan pondok-pondok baru di seluruh negeri itu. Di samping itu, kerajaan negeri Kelantan juga menyediakan sumbangan kepada pusat-pusat pengajian pondok.

Ini dilakukan sebagai mengenangkan jasa yang telah disumbangkan oleh pusat pengajian tersebut dalam mengembangkan agama Islam.

Ia juga berperanan memastikan Islam itu sentiasa terpelihara sebagai warisan dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini.

Terengganu juga menyaksikan sekolah-sekolah pondok sebagai tempat PAS awal berkembang. Antaranya Pondok Alur Keladi, Pondok Tok Jiring, Pondok Kuala Ibai, Pondok Losong dan beberapa buah sekolah pondok yang akhirnya ditukar status dizaman kerajaan BN sebagai SABK.

Kerajaan Terengganu yang dipimpin oleh PAS terus memberikan dokongan kepada para asatizah institusi pondok agar tradisi pembelajaran Kita turath terus dipertahankan untuk melahirkan para alim ulama.

Sambutan tujuh dekad perjuangan PAS juga melibatkan elemen institusi pondok di negara ini. Ijtimak Tuan guru pondok se- Malaysia telah berlangsung di kompleks Tarbiah at-Taqwa Batu Enam Terengganu dengan matlamat untuk menghimpunkan para penggerak, ilmuan, pendokong institusi pondok yang merupakan pusat pendidikan yang berjasa besar kepada harakatul ummah yang telah berusia 70 tahun ini.

(Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI). – HARAKAHDAILY 12/12/2021

Tiada ulasan: