12 Disember 2021

‘Allah beri kekuatan, menghilangkan rasa gerun’

 

Oleh NOORENI ABU BAKAR dan SALMAH MAT HUSAIN

KUALA TERENGGANU:
 Biarpun sIbuk dengan tugas kepartian yang tiada hentinya, namun muslimat kental ini tidak pernah memohon cuti sepanjang berkhidmat sebagai pendidik.


Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Nor mendedahkan perkara itu pada program Borak Teh Tarik Tiga Generasi Muslimat yang diadakan di Primula Beach Resort pagi ini sempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan PAS ke-70.

Bual bicara yang turut menampilkan Pengerusi As-Sabiqun, Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Mahmud serta Ketua Pengarah Ameerah Malaysia, Dr Siti Mastura Muhammad dan moderatornya, Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Muslimat PAS Malaysia, Husna Dato’ Hashim.

Salamiah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang berkata, walaupun beliau bertugas sebagai guru namun dengan pertolongan Allah, segala gerak kerja menjadi mudah.

Menurutnya, terlalu banyak pertolongan yang diberikan sehinggakan beliau tidak pernah menerima surat ‘tunjuk sebab’ daripada pihak atasan.

“Allah yang memberi kekuatan, menghilangkan rasa gerun dan ketakutan sewaktu berhadapan sebarang situasi yang dihadapi,” ujarnya yang mempunyai pengalaman sebagai guru selama 30 tahun.

Menyentuh isu pengundi 18 tahun beliau menyarankan PAS perlu memberi penerangan kepada umum agar masyarakat lebih memahami tentang perkara itu.

Tegasnya, sebagai seorang pendidik pula beliau turut bertanggungjawab untuk memperkenalkan kepada pelajar menerusi program-program dianjurkan.

“Kita perlu menunjukkan lambang bulan yang menjadi trade mark perjuangan dan bukannya lambang negatif.

“Kadang-kadang keluarga sendiri ada yang tidak bersama, tetapi kita kena menarik mereka dan lambang PAS itu adalah menandakan kesejahteraan, kemakmuran neutralkan mereka sehingga mereka melihat perlunya bersama dengan PAS,” jelasnya.

Program anjuran DEwan MUslimat PAS Malaysia itu turut ditayangkan montaj mengenai sejarah Muslimat PAS. 

Menariknya sebelum ianya dipasang, memori kad berkenaan dihantar oleh dron dari arah belakang.

Majlis lebih menarik apabila chef Primula Beach Resort masuk menghidangkan teh tarik serta melakukan aksi menarik teh tarik sebagai simbolik bermulanya acara ‘Borak Teh Tarik 3 Generasi Muslimat’.

Majlis lebih meriah dengan persembahan para pelajar PASTI yang petah berpidato. 

Majlis menjadi gamat seketika memandangkan ada di antara mereka terpaksa dipimpin masuk kerana ‘malu’ namun akhirnya terpukau dengan kepetahan mereka yang hebat dengan menyampaikan khutbah.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Penerangan PAS, Ir Senator Khairil Nizam Khirudin.

Ustazah Asmak Hussin turut diundang bagi menjayakan majlis berkenaan menerusi slot ‘Talk Whit Her’. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

Tiada ulasan: