12 Disember 2021

Pertama kali kes bawah 4,000 sejak 11 Mei lalu

  Foto hiasan

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Malaysia hari ini merekodkan kes harian baharu bawah 4,000, pertama kali sejak Mei lalu.

Sebanyak 3,490 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini.

Kali terakhir negara mencatatkan kes bawah 4,000 ialah pada 11 Mei lalu dengan 3,973 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,691,639 individu sudah dijangkiti virus berkenaan.

"Daripada jumlah kes baharu yang dikesan hari ini, sebanyak 98 peratus atau 3,421 kes adalah pesakit COVID-19 dalam kategori Satu dan Dua iaitu tidak mempunyai gejala dan bergejala ringan.

"Baki lagi dua peratus bersamaan 69 kes pula adalah pesakit dalam kategori Tiga hingga Lima iaitu mempunyai radang paru-paru, memerlukan alat bantuan pernafasan dan kritikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, Dr Noor Hisham berkata kes hari ini membabitkan 3,476 kes penularan tempatan dengan 14 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah keseluruhan kes aktif di negara ini, terdapat 407 kes sedang dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 341 kes dijangkiti COVID-19 dengan 66 kes disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

"Bagi kes di dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, sehingga kini masih terdapat 216 kes iaitu 135 kes adalah pesakit COVID-19 serta 81 kes pula disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan," katanya.

Mengulas mengenai dua kluster baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia menjadikan sebanyak 243 kluster yang masih aktif di negara ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kes sembuh yang dilaporkan, Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 5,399 kes pulih dicatatkan sehingga tengah hari tadi.

Pertambahan itu menjadikan sehingga kini sebanyak 2,601,908 individu dilaporkan pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus berkenaan.

BHARIAN.

Tiada ulasan: