12 Disember 2021

Pondok benteng akhir pertahan akidah umat Islam

 

KUALA NERUS: Ijtimak Ulama Dan Guru Pondok Malaysia hari ini merumuskan institusi pendidikan agama itu menjadi benteng akhir untuk mempertahankan akidah umat Islam yang sahih.


Resolusi sembilan perkara itu antara lain menjelaskan ulama merupakan golongan yang mencetuskan semangat perjuangan Islam di negara ini.

“Guru guru pondok juga hendaklah sepakat dalam perkara dasar bagi mengelakkan memberi ruang kepada musuh Islam,” kata Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Mohd Asri Mat Daud ketika membaca resolusi tersebut.

Sebelum itu Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan ijtimak terbabit sebagai penutup ijtimak separuh hari tersebut.

Resolusi juga mengemukakan cadangan supaya pusat pendidikan yang dikendalikan di bawah PAS dapat diselaraskan untuk membolehkan ia terus berkembang dalam arus pendidikan negara.

Sebelum itu Tuan Guru Abdul Hadi berkata, ulama yang istiqamah pondok yang diurus mereka mampu terus bertahan, berbanding ulama yang tidak istiqamah dalam perjuangan.

Begitu juga ulama yang hanya beramal di rumah dan tidak keluar menyertai jemaah di luar menyebabkan Islam tidak berkembang. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

Tiada ulasan: