12 Disember 2021

6 pemimpin veteran terima Tokoh Istiqamah

 

KUALA TERENGGANU: Sambutan Ulang Tahun ke-70 PAS menganugerahkan tokoh Istiqamah kepada enam pemimpin veteran parti itu yang kekal berjuang sehingga sekarang.


Tokoh terbabit iaitu bekas Naib Presiden Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok, bekas Setiausaha Agung PAS Dato Mustafa Ali, Ustaz Halim Arshad, bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut menerima anugerah tersebut Raden Siti Bahjah Radin Hadi Munir. Kesemua anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan tidak hadir disebabkan keuzuran, dan beliau diwakili oleh menantunya Zuraidin Abdullah.

Kelihatan tokoh veteran terbabit agak uzur sehingga ada yang terpaksa dipapah ketika menaiki pentas menerima anugerah terbabit.

Sebelum itu orang ramai yang hadir menyaksikan sketsa yang menyentuh perasaan dilakonkan kumpulan anak muda dari Generasi Sejahtera Kelantan yang dipimpin Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Sketsa tersebut mengisahkan peristiwa bermula detik penubuhan PAS pada 1951 sehingga era sekarang termasuk era penubuhan Jabatan Amal Malaysia yang dikenali sebagai semut merah dalam kalangan masyarakat.

Malah ada pimpinan PAS yang hadir mengesat mata mengenangkan jatuh bangun sehingga PAS berada pada kedudukan sekarang, yang berdepan pelbagai mehnah dan dugaan. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

Tiada ulasan: