05 Februari 2022

Jokowi dapat sokongan kumpulan Muslim, sultan untuk Nusantara

 Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Foto AGENSI

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi). - Foto AGENSI

BALIKPAPAN: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sedang mendapatkan sokongan daripada kumpulan Muslim terbesar negara itu, Nahdlatul Ulama (NU) terhadap Nusantara.

Beliau juga sedang berusaha mendapatkan sokongan beberapa sultan tempatan dan komuniti orang asli terhadap ibu negara baharu Indonesia itu, susulan kritikan di Jakarta.

Awal minggu ini, Jokowi terbang ke Balikpapan di Kalimantan Timur, di mana NU mengadakan majlis pelantikan anggota lembaga eksekutif nasionalnya yang baharu.

Kumpulan Muslim itu merancang untuk membina pejabat baharu di Penajam Paser Utara di Nusantara, bersebelahan Balikpapan.

Ketika majlis itu, Jokowi memaklumkan sedia memberikan konsesi tanah yang besar kepada NU, namun tidak jelas sama ada plot tanah itu adalah untuk pembinaan pejabat baharu NU di Penajam.

Pengerusi baharu NU, Yahya Cholil Staquf menyokong keputusan kerajaan untuk memindahkan ibu negara Indonesia dari Jakarta, dan menyifatkannya sebagai perancangan 'di luar kotak'.

"Semakin jelas bahawa langkah mewujudkan ibu negara baharu di Kalimantan Timur adalah inisiatif berkesan untuk membangunkan masa depan lebih baik untuk Indonesia," katanya pada majlis itu.

Kerja pembinaan awal di Nusantara sudah bermula, termasuk infrastruktur asas seperti empangan untuk bekalan air bersih dan akses jalan raya menerusi ladang acacia dan pokok eucalyptus, yang bakal menempatkan istana presiden dan pejabat kerajaan yang baharu.

Kerajaan Indonesia juga sedang menyediakan perundangan untuk mempercepatkan pembangunan Nusantara supaya proses pemindahan boleh bermula pada Ogos 2024, namun ia mencetus kontroversi.

Pengkritik mempersoalkan keperluan menyegerakan pembinaan ibu negara baharu itu dan menyifatkannya sebagai pembaziran, selain kebimbangan terhadap impak alam sekitar dan kehidupan komuniti orang asli di Kalimantan Timur.

Di Balikpapan, Jokowi bertemu wakil komuniti orang asli, termasuk ketua Kutai Kertanegara dan kesultanan Paser, dengan Sultan Kutai, Muhammad Arifin menyatakan sokongan selepas pertemuan berkenaan. - AGENSI

Tiada ulasan: