05 Februari 2022

Perahu Sagor ditemui Sungai Ketil akan dipulihara

 Pihak Jabatan Warisan Negara melakukan kerja mengukur panjang dan lebar perahu Sagor yang ditemui penduduk kampung di Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang. - Foto SAFURI KAMARUDIN

Pihak Jabatan Warisan Negara melakukan kerja mengukur panjang dan lebar perahu Sagor yang ditemui penduduk kampung di Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang. - Foto SAFURI KAMARUDIN

BALING: Jabatan Warisan Negara menyifatkan artifak lama seperti perahu Sagor yang ditemui penduduk di Sungai Ketil berdekatan Kampung Lela, Kuala Pegang perlu dijaga dengan baik.

Timbalan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadin, berkata pihaknya akan membawa perahu itu ke Muzium Negeri Kedah untuk proses konservasi selanjutnya.

Beliau berkata, Pihak Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia dan Lembaga Muzium Negeri Kedah serta penduduk kampung mengambil inisiatif menyelamatkan perahu sagor untuk proses konservasi dan penyelidikan bagi menentukan tarikh dan usia sebenar perahu itu.

"Proses ini amat penting untuk menghasilkan penceritaan sebenar mengenai kewujudan perahu sagor selepas ia dipulihkan dan akan dipamerkan untuk tontonan umum," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, perahu sagor itu adalah sebatang kayu yang dibelah kemudian ditebuk dijadikan sebuah perahu untuk kegunaan orang dahulu sebagai satu cara pengangkutan jalan air.

"Usia sebenar perahu bersaiz sembilan meter panjang dan satu meter lebar diperbuat daripada jenis kayu tahan lama oleh penduduk pada zaman dahulu.

"Namun ia tidak dapat dipastikan jenis kayu apa tetapi berdasarkan beberapa penemuan perahu terdahulu, ianya diperbuat pada abad ke 19," katanya.

Penghulu Mukim Kupang, Badrul Hisham Che Li, berkata penemuan perahu lama ini adalah kali ke tiga ditemui di sepanjang Sungai Ketil.

Beliau berkata, perahu lama itu pernah ditemui di Kampung Tualang, Pulai, sekitar tahun 2000, diikuti di Lubuk Che Man, Kampung Ketemba pada 2014 dan kali ketiga di Kampung Lela.

"Berkemungkinan perahu ini digunakan oleh pedagang dahulu sebagai salah satu cara pengangkutan mereka kerana sungainya berhubung dengan Sungai Kuala Muda dan terus ke laut," katanya.

Badrul berkata, ketika awal ditemui ada beberapa ketul batu dipercayai bijih besi dan salah satunya dianggarkan seberat lima kilogram, namun pihak Jabatan Warisan Negara sahaja yang dapat mengesahkannya.

"Perahu sagor dijangka diserahkan kepada pihak muzium pada esok pagi oleh Pegawai Daerah Baling Mohamad Shahadan Abdullah," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: