05 Februari 2022

Covid-19: Arab Saudi umum sekatan perjalanan baharu

 

JEDDAH: Arab Saudi pada Khamis (4 Feb) mengumumkan sekatan perjalanan baharu sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 yang bakal mula berkuat kuasa menjelang Rabu (9 Feb) depan.


Sumber rasmi di Kementerian Dalam Negeri negara itu berkata, semua warga Saudi diwajibkan mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 untuk perjalanan ke luar negara bermula tarikh tersebut pada jam 1 pagi.

“Semua ketibaan ke dalam negara bagi warga negara Saudi yang melancong ke luar negara perlu menghasilkan keputusan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) negatif yang diperoleh 48 jam sebelum berlepas, tanpa mengira status imunisasi mereka,” ujar kenyataan berkenaan.

Menurut Kementerian itu, sekatan baharu tersebut diumumkan selaras dengan susulan berterusan kepada situasi epidemiologi tempatan dan global, dan sebagai sebahagian daripada langkah yang diambil oleh kerajaan Saudi untuk mengatasi penularan Covid-19 dan menjaga kesihatan awam.

“Warga Saudi yang ingin melancong ke luar negara perlu mengambil dos penggalak vaksin selepas tiga bulan menerima dos kedua.

“Namun, kanak-kanak di bawah umur 16 tahun atau kumpulan yang dikecualikan seperti yang ditunjukkan dalam aplikasi Tawakkalna telah dikecualikan daripada keperluan tersebut,” ujar kenyataan berkenaan.

Sehubungan itu juga, Kementerian itu berkata, semua pelancong yang tiba di  Saudi, tanpa mengira status imunisasi mereka juga dikehendaki mengemukakan ujian PCR negatif yang diluluskan atau ujian antigen negatif yang dikeluarkan dalam tempoh 48 jam dari tarikh mereka berlepas atau tarikh kemasukan ke negara itu.

“Kanak-kanak di bawah 8 tahun bagaimanapun dikecualikan susulan peraturan yang berlaku di negara asal mereka berkaitan dengan kawalan jangkitan Covid-19,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah Kementerian itu lagi, warga negara itu yang memperoleh keputusan ujian test kit menunjukkan bahawa mereka dijangkiti coronavirus dibenarkan memasuki negara itu tanpa memerlukan ujian PCR dengan syarat tujuh hari telah berlalu sejak mereka diuji positif, dan mereka telah menerima dos vaksin lengkap yang diluluskan oleh Saudi.

“Pengembara Arab Saudi yang tidak lengkap dos vaksin yang diluluskan pula akan dibenarkan masuk ke negara ini  hanya selepas 10 hari diuji positif untuk Covid-19.

“Orang ramai perlu mematuhi semua langkah berjaga-jaga dan protokol kesihatan yang diluluskan kerajaan, pada masa yang sama mempercepatkan penyiapan semua dos vaksin yang diluluskan,” ujar kenyataan itu. – Saudi Gazzette

Tiada ulasan: